GAMBAR hiasan. FOTO FARIZUL HAFIZ AWANG

GAMBAR hiasan. FOTO FARIZUL HAFIZ AWANG

Hafidzul Hilmi Mohd Noor


Kuala Lumpur: Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengenal pasti tiga kluster baharu Covid-19 yang dilaporkan di Selangor, Kuala Lumpur dan Sarawak, hari ini.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, kluster baharu itu membabitkan dua kluster tempat kerja dan satu kluster komuniti.

"Kluster Seksyen 16 adalah kluster tempat kerja dikesan di Hulu Langat dan Sepang di Selangor membabitkan sebuah pusat pendidikan di Seksyen 16, Bandar Baru Bangi.

"Sehingga kini, seramai 322 individu disaring dan 18 kes dikesan positif Covid-19 dalam kluster ini," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, Kluster Jalan Azlan adalah kluster tempat kerja di Kepong dan Titiwangsa di Kuala Lumpur serta daerah Kuala Langat di Selangor.

Menurutnya, kluster itu membabitkan sebuah pusat pentadbiran awam di Jalan Sultan Azlan Shah, Sentul, Kepong dan setakat hari ini, seramai 70 individu disaring sebelum sembilan kes dikesan positif Covid- 19.

"Kluster komuniti dikenali sebagai Kluster Taman Vistagro membabitkan daerah Sri Aman, Sarawak.

"Nama kluster merujuk kepada lokaliti apabila kluster ini dilaporkan di Taman Vistagro, Sri Aman. Sehingga kini seramai 179 individu disaring dan 18 kes dikesan positif," katanya.

Beliau berkata, sebanyak 11 kluster tamat pada hari ini iaitu Kluster Desa Empat, Kluster Genting Terang, Kluster Jalan Tebrau Pandan, Kluster Jalan Telok Ira, Kluster Jalan Tebrau Khas dan Kluster Jalan Istimewa Cemerlang.

Menurutnya, selain itu, Kluster Lebuh Keluli, Kluster Jalan Istimewa Tujuh, Kluster Jalan City, Kluster Patikang Ulu, dan Kluster Taman Industri.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 29 Mac 2021 @ 6:41 PM