Noorazura Abdul Rahman


Sungai Petani: Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) merancang untuk mengadakan perbincangan dengan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) untuk menjadikan buku Somalia Belang Harimau Besi sebagai sebahagian silibus pelajaran di sekolah.

Timbalan Ketua Pengarah Operasi DBP Abd Halim Harun berkata, ia berikutan buku itu sangat sesuai untuk menerapkan semangat patriotik dalam kalangan pelajar dengan kisah benar mengenai perjuangan dan kehebatan anggota tentera Malaysia menghadapi pertempuran di Somalia pada 1993.

"Kita mungkin akan berbincang dengan Bahagian Ko-Kurikulum KPM supaya perkara ini boleh kita angkat menjadi sebahagian silibus di sekolah.

"Buku ini sangat menarik dibaca dan disebar luas kepada sesiapa sahaja kerana ia adalah gambaran sebenar kejadian pertempuran membabitkan penulis sendiri," katanya ketika sidang media selepas majlis pelancaran buku Somalia Belang Harimau Besi oleh Panglima Tentera Darat Jeneral Tan Sri Zamrose Mohd Zain di Kem Lapangan Terbang Sungai Petani di sini, hari ini.

Buku itu ditulis oleh Mejar Jeneral Datuk Mohd Halim Khalid berdasarkan pengalaman peribadinya ketika bertugas di Somalia bersama-sama rakan seperjuangannya, pasukan MALBATT 1 sehingga berjaya dalam misi mereka.

Mengulas lanjut, Abd Halim berkata, untuk permulaan DBP mencetak sebanyak 1,000 naskah buku berkenaan.

Katanya, pihaknya akan bekerjasama dengan pihak Perpustakaan Negara untuk mempromosi buku berkenaan agar ia boleh didapati di rak buku perpustakaan awam dan perpustakaan sekolah di seluruh negara.

"Dalam masa yang sama, kita juga menggalakkan lebih ramai anggota tentera sama ada udara, darat dan laut supaya datang bekerjasama dengan DBP, sekiranya ada manuskrip dihasilkan, boleh kita selaraskan dan terbitkan," katanya.

Sementara itu, Mohd Halim berkata, beliau mengharapkan agar buku itu menjadi bahan bacaan wajib di sekolah.

Katanya, beliau mengambil masa lebih setahun untuk menyiapkan manuskrip buku berkenaan iaitu sejak 2018 dengan mengumpulkan maklumat yang tepat daripada rakan seperjuangan dan kajian lain.

"Harapan saya sesiapa sahaja yang membaca buku ini, mereka dapat menjiwai dan menghayati erti sebuah keamanan dan mereka tahu betapa pentingnya kita terus mempertahankan keamanan yang ada," katanya.

BUKU Somalia Belang Harimau Besi berdasarkan pengalaman peribadi Mohd Halim ketika bertugas di Somalia bersama MALBATT 1. FOTO Luqman Hakim Zubir
BUKU Somalia Belang Harimau Besi berdasarkan pengalaman peribadi Mohd Halim ketika bertugas di Somalia bersama MALBATT 1. FOTO Luqman Hakim Zubir

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 26 Mac 2021 @ 7:13 PM