ANGGOTA APM yang gigih bertugas.
ANGGOTA APM yang gigih bertugas.
Mohd Jamilul Anbia Md Denin


Kuala Lumpur: "Kepenatan mental dan fizikal dialami ratusan sukarelawan Angkatan Pertahanan Awam (APM) sejak pandemik Covid-19 menyerang negara Mac tahun lalu berat digambarkan. Namun ratusan 'wira' barisan hadapan ini tidak goyang," ujar Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Wilayah Persekutuan, Kolonel (PA) Effendy Ali.

Menurutnya, peranan APM semakin penting sepanjang krisis Covid-19 apabila mereka turut ditugaskan di empat pusat pemberian vaksin (PPV) skala mega di ibu kota selain PVV di Putrajaya, Universiti Malaya (UM) dan Wilayah Persekutuan Labuan.

"Antaranya anggota APM memainkan peranan di PVV Stadium Nasional Bukit Jalil, PVV Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC), PVV Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa Malaysia (Mitec) dan PVV Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC).

"Ini termasuk PVV di Dewan Seroja Presint 15, Putrajaya, Universiti Malaya (UM) dan beberapa lokasi PVV di Labuan," katanya.

Beliau yang juga Pengarah APM Wilayah Persekutuan berkata, dianggarkan seramai 250 sukarelawan APM ditugaskan bermula jam 8 pagi di setiap PVV ini bagi memastikan kelancaran proses vaksinasi bersama kakitangan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Angkatan Tentera Malaysia (ATM), RELA dan Majlis Keselamatan Negara (MKN).

"Mereka ditugaskan membantu orang ramai yang hadir untuk temu janji suntikan vaksin terutama memudahkan golongan Orang Kurang Upaya (OKU) dan warga emas.

"Mereka turut berperanan di bahagian pendaftaran temu janji suntikan vaksin, memeriksa suhu badan serta menjadi pemandu arah. Selain itu anggota perubatan APM diletakkan dalam keadaan bersiap sedia di semua PVV," katanya.

"Saya kerap menasihati mereka supaya menjaga disiplin dan tingkah laku ketika berurusan dengan orang ramai di PVV. Mereka perlu banyak bersabar berikutan terdapat pelbagai kerenah akan ditemui.

"Ada yang datang temu janji dalam keadaan marah dan tertekan. Malah, ada juga fobia untuk menerima suntikan. Di sinilah peranan utama anggota APM dalam memastikan proses ini berjalan lancar," katanya.

Menurutnya, budi bahasa dan kesabaran tinggi ketika menjalankan tugas mampu memastikan proses vaksinasi ini dalam keadaan teratur.

"Selain di PVV, ratusan anggota tetap dan sukarelawan APM turut menyelaras 14 stesen kuarantin membabitkan hotel sekitar ibu kota selain 35 hotel di Labuan.

"Warga asing dan rakyat tempatan yang pulang dari luar negara masih diwajibkan untuk menjalani kuarantin selama 2 minggu di hotel-hotel terpilih ini," katanya.

Menurutnya, selaku ketua penyelaras pusat kuarantin, APM akan memastikan proses kuarantin berjalan mengikut prosedur ditetapkan dan agihan makanan dilakukan anggota APM lengkap berpakaian kelengkapan pelindungan diri (PPE).

"APM akan menyelaras semua agensi sahabat di stesen kuarantin mengikut peranan masing-masing selain memastikan pihak hotel stesen kuarantin sentiasa mematuhi prosedur operasi standard (SOP) sepanjang tempoh kuarantin," katanya.

Effendy berkata, anggota APM turut ditugaskan menyelaras pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di Kampung Sungai Penchala, di sini, ketika ini, bersama agensi lain seperti KKM, Jabatan kebajikan Masyarakat (JKM) dan polis.

"Tidak setakat itu, anggota APM turut bertugas seperti biasa di pusat kawalan dan operasi APM bagi menangani aduan awam atau kes kecemasan.

"Anggota penyelamat dan anggota perubatan bertugas 24 jam membabitkan 12 hingga 15 individu setiap syif. Ini tidak termasuk Penugasan Agen Basmi Covid19 (ABC19) di lapangan. Tugasan diamanahkan di PVV, stesen kuarantin, PKPD dan pusat operasi membuktikan kecekapan dan kemampuan sebenar APM dalam berdepan pelbagai situasi getir," katanya.

caption

Pix 1: ANGGOTA Angkatan Pertahanan Awam (APM) bertugas membantu orang ramai di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) skala mega di ibu kota

Pix 2; Penugasan Agen Basmi Covid19 (ABC19) turut dilaksanakan APM untuk memastikan orang ramai mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan kerajaan.

Pix 3: : Pemerkasaan Komuniti Agen Basmi Covid-19 (ABC-19) dilakukan anggota Angkatan Pertahanan Awam (APM) di sekitar Parlimen Titiwangsa

Pix 4; Penugasan anggota APM di stesen kuarantin hotel bagi kemasukan individu pulang dari luar negara masih diteruskan.

Pix 5 : Anggota Angkatan Pertahanan Awam (APM) membantu orang ramai yang hadir temu janji mendapatkan suntikan vaksin di Pusat Pemberian Vaksin (PPV)

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 18 Jun 2021 @ 11:59 AM