ANTARA warga asing yang diperiksa dalam serbuan Operasi Selera. FOTO Ihsan JIM
ANTARA warga asing yang diperiksa dalam serbuan Operasi Selera. FOTO Ihsan JIM
Nurul Hidayah Bahaudin


Kuala Lumpur: Tindakan seorang lelaki warga asing bertindak agresif menyebabkan seorang pegawai kanan imigresen cedera ketika serbuan Operasi Selera di sebuah restoran di Kampung Abu Bakar Baginda, Kajang, Selangor, semalam.

Ketua Pengarah Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Datuk Khairul Dzaimee Daud berkata, pihaknya menyerbu dua restoran yang menjadi tumpuan ramai kerana disyaki menggajikan warga asing tanpa pas sah sebagai pekerja di kampung berkenaan dan Presint 11, Putrajaya.

Katanya, operasi itu dijalankan ke atas premis terbabit dengan kekuatan 30 pegawai imigresen pada 3 petang berdasarkan aduan awam dan hasil risikan JIM.

"Ketika serbuan dilakukan di sebuah restoran di Kampung Abu Bakar Baginda, seorang lelaki warga asing bertindak di luar kawalan dan agresif dalam usaha melarikan diri.

"Namun, tindakan pantas beberapa pegawai Imigresen berjaya menahan lelaki berkenaan. Kejadian itu menyebabkan ibu jari patah dan dia dihantar ke hospital untuk menerima rawatan," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Khairul Dzaimee berkata, dalam serbuan ke atas kedua-dua premis itu, seramai 31 individu diperiksa dengan 29 warga asing berusia antara 21 hingga 55 tahun ditahan.

"Semua tangkapan yang ditahan adalah membabitkan seorang lelaki warga Myanmar, 10 lelaki dan 11 wanita warga Indonesia serta tujuh lelaki warga India.

"Selain itu, tiga lelaki warga tempatan turut dikenakan notis untuk hadir bagi memberi keterangan," katanya.

Beliau berkata, semua tangkapan itu dibawa ke Pejabat Kesihatan Daerah untuk melakukan ujian saringan Covid-19.

"Selepas keputusan ujian mendapati semua tahanan negatif, mereka dibawa dan ditempatkan di Depot Tahanan Imigresen Lenggeng, Negeri Sembilan untuk siasatan dan tindakan lanjut.

"Siasatan dijalankan mengikut Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (ATIPSOM), Akta Imigresen 1959/63, Akta Pasport 1966 dan Peraturan-Peraturan Imigresen 1963," katanya.

Beliau menasihatkan kepada semua majikan supaya mendapatkan pas sah dan mematuhi syarat-syarat bagi pengambilan pekerja asing.

"Walaupun dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan, ini tidak bermakna kegiatan menyalahi undang-undang negara akan dibiarkan berlaku.

"Tangkapan dan pendakwaan akan tetap dilakukan ke atas warga asing dan majikan yang cuba mengambil kesempatan.

"Orang ramai diminta supaya terus menyalurkan maklumat berkaitan pendatang asing tanpa izin supaya tindakan penguatkuasaan dapat dijalankan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 24 Mac 2021 @ 5:16 PM