Balqis Jazimah Zahari


Ipoh: Kementerian Alam Sekitar dan Air (KASA) bercadang untuk membina Loji Rawatan Air (LRA) secara berpusat antara sempadan dua negeri bagi menjimatkan sumber air mentah daripada keluar ke laut.

Menterinya Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, pembangunan kaedah berkenaan sekali gus dapat menjimatkan kos bagi kedua-dua negeri berkaitan.

"Kadangkala sumber air bergantung pada sungai dan oleh kerana itu, lembangan sungai perlu dibangunkan dengan berkongsi loji antara negeri, jadi boleh dibekalkan kepada dua negeri.

"Sebagai contohnya, lembangan sungai yang ada antaranya di Melaka-Johor, Negeri Sembilan-Melaka, Selangor-Perak, Perak-Kedah dan Kedah-Pulau Pinang," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Program Hari Air Sedunia Peringkat Negeri Perak, di sini, hari ini.

Tuan Ibrahim berkata, perkara itu ketika ini memerlukan rundingan di peringkat negeri.

"Kadang-kadang kita tidak perlukan dua loji pun sekiranya satu loji boleh membekalkan air kepada dua negeri dan akan jimat kos, cumanya kena berkongsi," katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata, KASA bersedia untuk membangunkan inisiatif baharu seperti Grid Air Kebangsaan, Pengkelasan Kualiti Air Mentah, pembinaan Takungan Air Pinggir Sungai, kempen pengurangan penggunaan air domestik di bawah 190 liter per kapita sehari dan penggubalan Pelan Induk Marine Litters.

"Insya-Allah, saya optimis sasaran ini boleh dicapai dan perkembangan pelan ini akan dikemaskini dari semasa ke semasa. Semoga semua usaha ini dipermudahkan," katanya.

Beliau berkata, selain itu dua daripada tiga pakej projek pembinaan Loji Rawatan Kumbahan Serantau dan Rangkaian Paip Pembetungan di Papan dalam daerah Kinta di negeri ini bernilai hampir RM2 bilion dijangka siap pada November tahun ini.

DATUK Saarani Mohamad (kanan) bersama Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man (dua kanan) menyampaikan replika cek Anugerah Ikon Sungai Perak kepada Ismail Muhamad Zin (dua kiri) di Majlis Perasmian Hari Air Sedunia Peringkat Negeri Perak di Hotel Casuarina, Meru. FOTO Sharul Hafiz Zam
DATUK Saarani Mohamad (kanan) bersama Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man (dua kanan) menyampaikan replika cek Anugerah Ikon Sungai Perak kepada Ismail Muhamad Zin (dua kiri) di Majlis Perasmian Hari Air Sedunia Peringkat Negeri Perak di Hotel Casuarina, Meru. FOTO Sharul Hafiz Zam

"Projek ini meliputi pembinaan rangkaian paip pembetungan sepanjang 157 kilometer, 14 stesen pam dan sebuah loji rawatan kumbahan serantau yang boleh menampung kapasiti kumbahan bersamaan dengan 1.5 juta penduduk.

"Melalui projek ini, 277 loji kecil di sekitar Bandaraya Ipoh akan ditutup dan seterusnya mengelakkan berlaku pencemaran ke atas saliran air disebabkan pelepasan air sisa kumbahan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 22 Mac 2021 @ 5:20 PM