Foto hiasan
Foto hiasan
Noor Atiqah Sulaiman

KUALITI udara ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) didapati mencatatkan tahap bersih di seluruh negara.

Menteri Alam Sekitar dan Air Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, paras pencemaran udara dicatatkan menurun khususnya di bandar utama di seluruh negara.

“Saya ingin memaklumkan bahawa Indeks Pencemaran Udara (IPU) menunjukkan penurunan paras pencemaran udara, ini disebabkan pengurangan aktiviti pelepasan bahan cemar udara seperti asap kenderaan bermotor, pelepasan asap industri dan aktiviti pembakaran terbuka.

“Bagi memastikan alam sekitar terus lestari dan mencegah pencemaran udara, saya ingin mengingatkan semua pihak tidak melakukan pembakaran terbuka atau membiarkan tanah serta premis kepunyaan mereka dimasuki atau dicerobohi oleh pihak yang tidak bertanggungjawab sehingga menyebabkan pembakaran terbuka berlaku sama ada untuk tujuan tertentu atau secara tidak sengaja.

“Seperti yang diperuntukkan mengikut Seksyen 29(A), Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 (Akta 127), sabit kesalahan boleh dikenakan denda tidak melebihi RM500,000 atau penjara tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya sekali.

“Kompaun maksimum sebanyak RM2,000 juga boleh dikenakan atas setiap kesalahan,” katanya dalam satu kenyataan di Putrajaya semalam.

Sementara itu, kualiti air sungai di sembilan stesen pengawasan air mencatatkan 31 peratus kualiti air sungai bertambah baik, enam stesen menunjukkan 21 peratus perubahan tidak ketara dan 48 peratus di 14 stesen lain menunjukkan sedikit penurunan kualiti air sungai.

Tuan Ibrahim berkata, parameter kualiti air di 29 stesen banyak dipengaruhi oleh faktor cuaca dan keperluan menambah baik sistem pembetungan supaya lebih efisien.

“Faktor cuaca yang utama ialah peralihan monsun yang menyebabkan peningkatan kekerapan hujan sehingga menyumbang kepada tahap hakisan tanah terbuka dan pengaliran sampah yang tidak diuruskan dengan teratur dalam sesebuah lembangan ke dalam sungai.

“Secara spesifik, kualiti air sungai sepanjang tempoh PKP dipengaruhi oleh beban pencemaran daripada loji rawatan kumbahan (LRK), loji rawatan efluen industri dan tangki septik, kumbahan bukan najis (greywater) yang tidak terawat daripada kawasan perumahan, pasar basah, penyedia makanan dan sebagainya yang tidak bersambung dengan sistem pembetungan berpusat dan kelodak akibat hakisan tanah serta sampah ketika hujan,” katanya.

Beliau berkata, pihaknya membuat rumusan jumlah pepejal terampai (TSS) dan sampah meningkat hanya ketika hujan manakala parameter lain yang digunakan untuk mengukur tahap kualiti air sungai seperti keperluan oksigem biokimia (BOD) dan keperluan oksigem kimia (COD) berkurangan sepanjang tempoh PKP.

Pada masa sama, beliau berkata, bacaan sedemikian menunjukkan bahawa pemberhentian operasi sementara kebanyakan aktiviti industri dalam kategori perkhidmatan bukan perlu (non-essential services) dan kerja tanah projek pembangunan semasa tempoh PKP mempengaruhi kualiti air sungai di seluruh negara.

Tuan Ibrahim berkata, pihaknya turut menggesa pihak berkuasa tempatan (PBT) untuk membuat pemantauan terhadap punca penghasilan kumbahan bukan najis khususnya di pasar basah dan premis penyedia makanan.

“Bagi pemilik premis yang tidak bersambung dengan sistem pembetungan berpusat pula, pihak berkenaan diarahkan untuk mengosongkan tangki septik terbabit sekurang-kurangnya dua tahun sekali sebagaimana yang ditetapkan oleh Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN).

“Saya turut mengingatkan supaya semua pihak supaya tidak mencemarkan sumber air. Pihak yang dibenarkan beroperasi semasa tempoh PKP dilarang sama sekali melepaskan bahan perindustrian yang tidak dirawat,” katanya.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 19 April 2020 @ 1:00 PM