Kedai percuma Pertubuhan Kebajikan Nur Insani di Tengkera. FOTO NAZRI ABU BAKAR
Kedai percuma Pertubuhan Kebajikan Nur Insani di Tengkera. FOTO NAZRI ABU BAKAR
Nazri Abu Bakar


Melaka: Pertubuhan Kebajikan Nur Insani membuka kedai percuma bagi membolehkan asnaf serta fakir miskin mengambil keperluan harian tanpa sebarang bayaran.

Ia membabitkan makanan asas termasuk beras, tepung, gula, susu dan minyak masak yang akan diberi kepada yang datang di kedai terbabit.

Pengasas pertubuhan terbabit, Baharudin Abd Latip berkata, sesiapa sahaja yang datang sudah pasti memerlukan bantuan terutama fakir miskin, selain tiada pekerjaan atau hilang sumber pendapatan susulan pandemik Covid-19.

"Bagi yang tidak mempunyai kenderaan untuk mengambil barangan di kedai terletak di Tengkera itu, saya biasanya akan menghantar ke rumah asnaf termasuk di sekitar Tampin, sempadan Muar dan Masjid Tanah.

"Mereka hanya perlu memaklumkan menerusi aplikasi WhatsApp sahaja bagi membolehkan saya menghantar sendiri ke rumah mereka kerana kebiasaan mereka menghadapi masalah pengangkutan," katanya.

Baharudin berkata, setakat ini stok makanan harian mencukupi termasuk jika lebih 50 asnaf yang menyerbu kedai berkenaan dalam satu-satu masa.

Menurutnya, pihaknya menyimpan 200 kampit beras dan barangan lain yang turut disumbang pelbagai pihak terutama individu dan ahli perniagaan.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 21 Mac 2021 @ 5:55 PM