Mahaizura Abd Malik


Kuala Lumpur: Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) mengesahkan golongan fakir dan miskin di Kuala Lumpur yang menerima Bantuan Kewangan Bulanan mereka membabitkan 21,556 keluarga.

Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif MAIWP, Mohd Nizam Yahya berkata data berkenaan diperoleh selepas menggunakan pengiraan Had al-Kifayah dalam menentukan kategori asnaf fakir dan miskin.

Katanya, pengiraan Had al-Kifayah menetapkan kadar minimum keperluan bulanan bagi setiap ahli keluarga membabitkan enam kategori keperluan asasi termasuk tempat tinggal, makanan, pakaian, pendidikan, perubatan dan pengangkutan.

"Penentuan asnaf fakir dan miskin tidak tertakluk kepada jumlah pendapatan semata-mata, namun ia mengambil kira keperluan bulanan keluarga itu berdasarkan kadar yang ditetapkan dalam jadual Hal al-Kifayah.

"Apabila semua keperluan ini ditambah dan didapati pendapatan isi rumah tidak mampu menampung 50 peratus daripada keperluan, maka mereka dikategorikan sebagai fakir.

"Jika pendapatan mereka mampu menampung 50 peratus daripada keperluan dan ke atas tetapi masih tidak melebihi jumlah keperluan, maka mereka dimasukkan dalam kategori miskin," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau yang juga Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (Operasi) MAIWP berkata, kadar Had al-Kifayah ini sentiasa disemak setiap dua hingga tiga tahun bagi memastikan ia kekal relevan dengan peningkatan kos sara hidup selain memastikan agihan benar-benar telus dan menepati keperluan asnaf fakir dan miskin.

"MAIWP sentiasa bekerjasama dengan Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU) Jabatan Perdana Menteri termasuk Jabatan Kebajikan Masyarakat bagi penyelarasan bantuan agar golongan ini dapat disantuni daripada pelbagai aspek," katanya.

Menerusi bantuan MAIWP, keluarga fakir dan miskin yang layak menerima bantuan antara RM300 hingga RM1,000 sebulan.

Dengan jumlah penerima terkini, MAIWP memperuntukkan RM131.39 juta juta zakat setahun menerusi Bantuan Kewangan Bulanan kepada fakir, miskin, asnaf mualaf dan ar-riqab di Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya.

Selain Skim Bantuan Kewangan Bulanan, secara keseluruhannya terdapat 30 skim bantuan disediakan MAIWP seperti pendidikan untuk anak-anak, bayaran sewa rumah, perubatan dan lain- lain.

Kelmarin media melaporkan, verifikasi data e-Kasih terkini menunjukkan jumlah penduduk miskin dan miskin tegar di Kuala Lumpur meningkat kepada 10,200 keluarga.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi) Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata, data itu diperoleh daripada ICU JPM yang merangkumi 6,800 keluarga berada dalam kategori miskin dan 4,400 keluarga dalam kategori miskin tegar.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 15 Mac 2021 @ 8:02 PM