Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow ketika sidang media di pejabatnya, Kompleks Tun Abdul Razak (KOMTAR), Georgetown di sini. FOTO DANIAL SAAD
Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow ketika sidang media di pejabatnya, Kompleks Tun Abdul Razak (KOMTAR), Georgetown di sini. FOTO DANIAL SAAD
Nur Izzati Mohamad


Georgetown: Kerajaan Pulau Pinang meminta Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Majlis Keselamatan Negara (MKN) meneliti kembali penilaian risiko situasi semasa Covid-19 di negeri itu susulan peningkatan kes yang dilihat semakin membimbangkan.

Ketua Menteri Chow Kon Yeow, berkata, walaupun dengan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) sejak tahun lalu hingga kini, kawasan perindustrian di Mukim 12 dan Mukim 13 dalam daerah Timur Laut masih berada pada zon merah.

Menurutnya, lebih membimbangkan, ia kini menular ke Mukim 12, Mukim 13 dan Mukim 15 di daerah Seberang Perai Selatan yang juga kawasan perindustrian penting negeri itu.

"Penularan kes di sektor perkilangan kemudiannya merebak ke sekolah kawasan sekitar berpunca daripada ibu bapa yang bekerja di kilang terbabit.

"Saya menerima banyak keluhan terutamanya daripada ibu bapa yang resah, kecewa dan sangsi terhadap situasi semasa berkenaan, apatah lagi mereka patuh kepada prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan tetapi kes masih tinggi yang secara tidak langsung menjejaskan kehidupan seharian termasuk perniagaan dan pekerjaan masing-masing," katanya dalam kenyataan, di sini, hari ini.

Katanya, beliau juga berharap Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) dapat menyegerakan pelaksanaan SOP 'Safe@Work' seperti yang ditekankan dalam kenyataannya sebelum itu.

"Serentak itu, penguatkusaan bukan sahaja dilaksanakan dengan tegas terhadap individu sebaliknya juga kilang yang ingkar pematuhan SOP terutama yang mencatatkan kes berulang.

"Sebagai tambahan, suntikan vaksin menerusi Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan juga perlu disegerakan kepada mereka yang bekerja atau berkhidmat dalam sektor perkilangan di negeri ini supaya dapat membendung penularan menjadi lebih serius," katanya.

Sehingga semalam, terdapat 18 kluster aktif dicatatkan di Pulau Pinang membabitkan 11 kluster perkilangan, satu kluster pendidikan, dua kluster depoh tahanan imigresen atau penjara dan empat kluster lain-lain.

Menurut data yang dikongsi Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah mendapati terdapat enam negeri mencatatkan kadar kebolehjangkitan (Rt) Covid-19 lebih tinggi daripada nilai Rt Kebangsaan yang berada pada tahap 0.9.

Enam negeri itu adalah Melaka (Rt 1.09) disusuli Labuan (1.08), Kedah (1.06), Sarawak (1.05), Terengganu (1.04) dan Pulau Pinang (0.98).

Sehingga semalam, Pulau Pinang mencatatkan jumlah kumulatif sebanyak 14,432 kes membabitkan 328 kes baharu, 1,083 kes aktif, 13,330 kes sembuh dan 19 kematian.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 21 Mac 2021 @ 1:31 PM