Ekhwan Haque Fazlul Haque

Tawau: Bantuan untuk asnaf ternyata memberikan kelegaan khususnya buat individu yang terkesan akibat Covid-19.

Misi Santuni Asnaf di Sabah anjuran Muslim Care Malaysia (Muslim Care) bermula di Kampung Sungai Buaya, di sini, dengan 150 keluarga menerima pelbagai bantuan barangan keperluan harian.

Penerima, Husin Seman, 38, berkata, pekerjaan yang tidak menentu sejak pandemik ini ternyata memberi kesan mendalam dalam kehidupannya.

Katanya, pendapatan sebagai mekanik tidak menentu pada awal Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sebelum ini kini semakin pulih.

"Saya bersyukur kerana Muslim Care sudi menyantuni asnaf di Kampung Sungai Buaya yang rata-rata bekerja sebagai nelayan dengan pendapatan tidak menentu.

"Bantuan ini meringankan beban penduduk dan boleh digunakan untuk meneruskan kehidupan harian," katanya ketika ditemui.

Majlis penyerahan sumbangan dihadiri Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Sabah Dr Aliakbar Gulasan dan Presiden Muslim Care Zulkifli Wahijan.

Kampung Sungai Buaya yang terletak berhampiran Pulau Sebatik di Indonesia turut memiliki madrasah yang mengajar generasi muda ilmu Islam.

Dr Aliakbar (tengah) turut bersama Zulkifli (empat dari kiri) menyampaikan sumbangan kepada sebahagian penerima dari 150 penduduk Kampung Sungai Buaya di Tawau dalam Misi Santuni Asnaf Sabah anjuran Muslim Care Malaysia. FOTO ASWADI ALIAS.
Dr Aliakbar (tengah) turut bersama Zulkifli (empat dari kiri) menyampaikan sumbangan kepada sebahagian penerima dari 150 penduduk Kampung Sungai Buaya di Tawau dalam Misi Santuni Asnaf Sabah anjuran Muslim Care Malaysia. FOTO ASWADI ALIAS.

Dalam ucapannya, Aliakbar berterima kasih kepada Muslim Care yang berterusan memberikan sumbangan kepada rakyat Sabah sejak pandemik Covid-19 melanda.

"Badan bukan kerajaan (NGO) seperti Muslim Care banyak membantu menyantuni masyarakat setempat yang kurang berkemampuan.

"Malah ada NGO yang menembusi kawasan pedalaman semata-mata menyalurkan bantuan kemanusiaan untuk mereka yang terjejas.

"Bantuan seperti ini diharap dapat diteruskan dalam masa sama kerajaan negeri juga akan memainkan peranan signifikan membantu rakyat Sabah," katanya.

Misi kali ini mendapatkan kerjasama dan sokongan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM), Geng Talaqqi, Institut Pendidikan Guru (IPG) Kampus Tawau dan Surau Al Muhsinin KLCC.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 19 Mac 2021 @ 6:32 PM