PETIKAN daripada rakaman kejadian.
PETIKAN daripada rakaman kejadian.
Nurul Hidayah Bahaudin

AKIBAT bengang selepas diarahkan beredar, seorang lelaki memaki hamun anggota Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) yang menjalankan tugas di Pasar Datuk Keramat, Kuala Lumpur, semalam.

Dalam kejadian 10.30 pagi itu, lelaki dianggarkan berusia 40-an berkenaan dikatakan berada di sekitar kenderaan pelbagai guna (MPV) miliknya yang diletakkan secara melintang di kawasan terbabit.

Pengarah Jabatan Penguatkuasa DBKL Azman Mahmood berkata, lelaki itu bagaimanapun berdegil dan menyalahkan anggota DBKL bertugas yang dikatakan pilih kasih kerana tindakan mereka memintanya beredar dari lokasi berkenaan.

"Atas budi bicara anggota bertugas, mereka tidak mengeluarkan saman terhadap lelaki itu walaupun kenderaanya menghalang lalu lintas di kawasan berkenaan dan hanya meminta dia beredar.

“Namun, dia kemudian bertindak memaki anggota bertugas dengan mengatakan mereka pilih kasih serta mengeluarkan kata-kata kesat dan ayat berunsur ‘rasis’.

"Lelaki itu juga mempertikaikan tindakan anggota yang menjalankan tugas pada hari cuti umum. Tindakan lelaki itu menyebabkan orang ramai berkumpul, malah ada di antara mereka yang merakam kejadian itu dan memuat naik video berkenaan sebelum tular di media sosial sejak semalam," katanya ketika dihubungi di Kuala Lumpur, hari ini.

Azman berkata, anggota DBKL terbabit membuat laporan di Balai Polis Jalan Tun Razak untuk tindakan lanjut.

"Tindakan lelaki itu adalah satu kesalahan mengikut Seksyen 186 Kanun Keseksaan kerana menghalang penjawat awam menjalankan tugas," katanya.

Dalam pemeriksaan di sekitar Pasar Datuk Keramat, sebanyak 23 notis kompaun KAE (kaedah) 12 (4) Kaedah-Kaedah Lalulintas Jalan (KLJ) 1959 terhadap kenderaan yang menyebabkan halangan di kawasan berkenaan.

"Selain itu, satu notis kompaun di bawah Undang-Undang Kecil (UUK) 3 Undang-Undang Kecil Penjaja dan Peniaga (UUKPP) Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur 2016 kerana didapati tidak memiliki lesen.

"Dalam pemeriksaan di lokasi berasingan di Pasar Borong Kuala Lumpur, sebanyak 13 notis KAE 16 (1) KLJ 1959 dikeluarkan terhadap kenderaan yang menghalang lalu lintas di Jalan 9/3A dan Jalan 6/3A.

"Pada masa sama, kami turut mengeluarkan satu notis terhadap peniaga di Jalan Batu Hampar yang didapati menjalankan perniagaan tanpa lesen," katanya.

- ends

Keterangan gambar:

1. RAKAMAN video lelaki yang memaki anggota DBKL di Pasar Datuk Keramat, Kuala Lumpur, semalam.

2. ANGGOTA DBKL membuat laporan di Balai Polis Jalan Tun Razak, Kuala Lumpur, berhubung kejadian itu, semalam.

3. ANGGOTA DBKL membuat pemeriksaan terhadap premis di sekitar Pasar Datuk Keramat, Kuala Lumpur, semalam.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 21 November 2018 @ 12:37 PM