Mohamed Farid Noh


Johor Bahru: Sebuah rumah teres dua tingkat musnah manakala enam unit lagi berjaya diselamatkan dalam kejadian kebakaran di Taman Pulai Perdana, pagi tadi.

Tindakan pantas Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) yang berjaya mengawal kebakaran daripada merebak menyebabkan hanya bahagian hadapan enam unit rumah teres dua tingkat di Jalan Pulai Perdana 9/9 itu terbakar.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP)Skudai, Mohd Riduan Akhyar yang juga ketua komander operasi berkata, Pusat Gerakan Operasi (PGO) Negeri Johor menerima panggilan kecemasan kebakaran rumah kira-kira 8.13 pagi tadi.

Katanya, seramai 12 anggota dari BBP Skudai dengan tiga jentera dan sebuah tangki air dikejarkan ke lokasi kejadian sebaik menerima panggilan kecemasan berkenaan.

"Setibanya PKO di lokasi kejadian didapati benar berlaku kebakaran membabitkan tujuh unit rumah teres dua tingkat di situ.

"Sebuah unit rumah membabitkan kebakaran seluruh struktur bangunan manakala enam unit lagi hanya membabitkan bahagian garaj hadapan sahaja.

ANGGOTA bomba ketika memadamkan salah sebuah rumah yang terbakar. FOTO Ihsan Bomba
ANGGOTA bomba ketika memadamkan salah sebuah rumah yang terbakar. FOTO Ihsan Bomba

"Sebuah kereta Proton Exora dan motorsikal Jenis Yamaha LC135 musnah tidak dapat diselamatkan dalam kebakaran itu namun tiada yang cedera atau kehilangan nyawa dalam insiden berkenaan. Operasi memadam tamat 9.43 pagi," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Mengulas lanjut, Mohd Riduan berkata punca kebakaran dan nilai kerugian masih dalam siasatan.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 20 Mac 2021 @ 12:39 PM