Abdul Hamid Bador.
Abdul Hamid Bador.
Muhaamad Hafis Nawawi


Kuala Lumpur: Perbuatan menjijikkan dan tidak bertanggungjawab. Itu tegas Ketua Polis Negara (KPN), Tan Sri Abdul Hamid Bador terhadap anggota dan pegawai polis di Pulau Pinang yang didapati melepaskan suspek Macau Scam, baru-baru ini.

Abdul Hamid berkata, penguat kuasa terbabit didapati menyalahgunakan kuasa dan wujud unsur penipuan dalam hal berkenaan.

"Alhamdulillah, saya amat menggalakkan 'whistleblowing' (pemberi maklumat) iaitu ada pihak melaporkan dan menghantar mesej WhatsApp kepada saya mengenai kes ini.

"Pegawai bawahan berkenaan mempersoalkan bagaimana pasukannya mengambil tindakan dan menangkap kumpulan berkenaan atas kesalahan itu, tetapi dengan begitu mudah dibebaskan," katanya.

Beliau berkata demikian pada program Bersama KPN dikendalikan Tokoh Wartawan Negara, Tan Sri Johan Jaaffar disiarkan secara langsung di YouTube dan Facebook Sinar Harian, hari ini.

Beliau berkata, sebaik menerima mesej itu, beliau terus mengarahkan Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) untuk melakukan siasatan.

Menurutnya, Ketua Polis Pulau Pinang sudah dihubungi dan apabila disiasat memang perkara itu berlaku (melepaskan suspek Macau Scam).

"Polis Diraja Malaysia (PDRM) milik negara, orang ramai ada hak untuk mendapatkan perkhidmatan baik daripada polis," katanya.

Ditanya pendedahan Pengarah JIPS Bukit Aman, Datuk Zamri Yahya mengenai beberapa pegawai hidup mewah hingga mendatangkan persoalan orang awam, Abdul Hamid berkata, tindakan Zamri itu secara tidak langsung mengundang cemuhan anggota dan pegawai polis tertentu serta pesara polis.

"Kami dibayar gaji, bukan dipaksa dan sesiapa masuk pasukan polis sukarela serta sanggup bertekad mahu menegakkan undang-undang.

"Tetapi apabila diberi kuasa, ada yang menyeleweng. Pendedahan Zamri membuka mata, mula satu tahap baharu dalam pengurusan polis dan saya sendiri sanggup cerita benda tidak baik ini sebagai pengajaran dan beri keyakinan orang awam bahawa polis tidak melindung dan bersekongkol perkara jijik ini," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 17 Mac 2021 @ 5:40 PM