Laporan Harian Metro sebelum ini.
Laporan Harian Metro sebelum ini.
BERNAMA

Kuala Lumpur: Rombakan pegawai kanan polis secara besar-besaran baru-baru ini bertujuan memberi peluang kepada pegawai polis baharu, untuk menggantikan tempat mereka, kata Ketua Polis Negara Tan Sri Abdul Hamid Bador.

"Pertukaran pegawai kanan yang berlaku bukan kerana ada kes-kes tertentu dan sebagainya, ia kena letak orang baru dan berkemungkinan pegawai kanan polis yang sebelum ini lama berkhidmat atau tidak naik pangkat, perlu ditukarkan," katanya kepada Bernama di sini, hari ini.

Beliau berkata, ia kerana terdapat pegawai kanan polis yang sudah lama menetap, bertugas dan memegang sesuatu jawatan polis, di satu-satu tempat.

Sebelum ini, PDRM ada mengeluarkan kenyataan bahawa seramai 71 pegawai kanan PDRM terbabit pertukaran jawatan, berkuat kuasa 12 April ini.

Antara mereka yang terbabit pertukaran itu adalah Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Saiful Azly Kamaruddin dilantik sebagai Timbalan Pengarah Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti (JPJKK) Bukit Aman, manakala Ketua Polis Daerah Petaling Jaya Asisten Komisioner Nik Ezanee Mohd Faisal dilantik sebagai Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor dengan memangku pangkat Senior Asisten Komisioner.

Dalam perkembangan lain, mengulas mengenai siasatan perkembangan kes Macau Scam, Abdul Hamid berkata, pihaknya sudah menerima segala kenyataan yang dirakam Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

"Saya serahkan siasatan kes ini kepada JIPS (Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard) untuk menjalankan siasatan yang mengambil masa antara sebulan hingga ke dua bulan.

"Semasa JIPS beri saya hasil laporan siasatan, saya mendapati seramai 31 pegawai dan anggota polis yang terbabit dalam kes ini, maka apabila diteliti ia amat serius sekali," katanya.

Abdul Hamid berkata, kuasa untuk menentukan hukuman kepada pegawai dan anggota polis yang terbabit masalah tatatertib adalah ditentukan oleh Suruhanjaya Pasukan Polis (SPP).

SPP dianggotai oleh lapan individu antaranya Menteri Dalam Negeri, Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri, Ketua Polis Negara, wakil Suruhanjaya Perkhidmatan Awam, wakil Institusi Kehakiman dan wakil pesara-pesara polis.

"Biarlah hukuman kes ini ditentukan oleh SPP, di mana SPP akan berbincang sama ada untuk buang kerja, menurunkan pangkat, didenda atau memaafkan pegawai atau anggota polis terbabit masalah tatatertib," katanya.

Pada Disember tahun lalu, media melaporkan seramai 29 pegawai dan anggota polis termasuk seorang pegawai kanan berpangkat Deputi Komisioner disiasat bagi kes penipuan Macau Scam dan judi dalam talian membabitkan Zaidi Kanapiah atau dikenali sebagai Addy Kanna.

Semua individu itu disiasat secara menyeluruh terutama berhubung pemilikan nilai aset luar biasa berbanding jawatan dan gaji.

Berita berkaitan

PDRM arah pertukaran 71 pegawai kanan

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 15 Mac 2021 @ 4:00 PM