ZAMRI. FOTO Arkib NSTP
ZAMRI. FOTO Arkib NSTP
Muhaamad Hafis Nawawi


Kuala Lumpur: Kertas siasatan terhadap 29 pegawai dan anggota polis, termasuk pegawai kanan berpangkat Deputi Komisioner yang didakwa bersekongkol dengan Addy Kanna dalam operasi sindiket Macau Scam dan judi dalam talian sudah di peringkat akhir siasatan.

Pengarah Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) Bukit Aman Datuk Zamri Yahya berkata, pihaknya sedang di peringkat akhir siasatan dan berharap dapat diselesaikan awal tahun depan.

Menurutnya, sebaik kertas siasatan dilengkapkan ia akan dimajukan kepada Ketua Polis Negara berkaitan hasil siasatan dan syor tindakan dan hukuman.

"Senarai mereka yang disiasat masih sama," katanya ketika dihubungi Harian Metro, hari ini.

Harian Metro sebelum ini melaporkan Deputi Komisioner antara 29 pegawai dan anggota polis sedang disiasat dipercayai terbabit dengan sindiket didalangi Addy Kanna.

Salah seorang termasuk pegawai berpangkat Inspektor yang dipercayai memiliki wang simpanan dalam akaun berjumlah RM1 juta.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 31 Disember 2020 @ 5:33 PM