Salamin (tengah) disahkan menghidap kanser paru-paru sejak 2018 dan bergantung kepada bekalan oksigen setiap hari. Foto Essa Abu Yamin
Salamin (tengah) disahkan menghidap kanser paru-paru sejak 2018 dan bergantung kepada bekalan oksigen setiap hari. Foto Essa Abu Yamin
Essa Abu Yamin


Kluang: "Setiap bulan, saya perlukan memerlukan hampir RM1,000 semata-mata untuk mendapatkan bekalan oksigen," kata Salamin Yusoff, 54, penghidap barah paru-paru di Kampung SC dekat sini.

Menurut Salamin, sejak disahkan menghidap barah paru-paru pada 2008, dia bergantung kepada tong oksigen berkenaan yang disewa pada kadar RM120 sebalang.

"Barah paru-paru ini kini di tahap empat manakala bekalan oksigen yang ada hanya mampu bertahan untuk tiga atau empat hari sahaja.

"Saya perlukan bekalan oksigen ini sepanjang masa," katanya ditemui di kediamannya hari ini.

Menurut Salamin, bagi menampung kos itu, dia bergantung kepada hasil jualan kuih yang diusahakan isterinya, Rosidah Ahmad, 49, yang memperoleh sekitar RM30 sehari.

"Anak-anak serta ahli keluarga ada membantu tetapi mereka membantu mengikut kemampuan kerana masing-masing ada komitmen dan keluarga," katanya.

Menurut Salamin, pada masa sama, dia juga menyara dua daripada tujuh anaknya yang bersekolah di sekolah rendah dan sekolah menengah di Batu 4 di sini.

"Saya pernah menghantar permohonan bantuan kepada Baitulmal pada awal tahun lalu namun masih tiada maklum balas.

"Saya memang tidak mampu untuk bekerja dan hanya duduk atau berbaring diatas katil, malah untuk ke bilik air pun perlu dibantu oleh isteri," katanya.

Bagaimanapun, Salamin bersyukur kerana mendapat bantuan RM300 sebulan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sejak Oktober tahun lalu.

Orang ramai yang mahu membantu boleh menyalurkannya ke akaun Maybank Salamin Yusof di 1514 5403 2699 atau hubungi talian 019-7332445.

Sementara itu, Pengerusi Pertubuhan Ikatan Usahawan Kecil dan Sederhana Malaysia Negeri Johor Kamal Ariffin Abdul Rahman turut menyerahkan bantuan tilam angin dan makanan untuk Salamin dan keluarganya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 16 Mac 2021 @ 5:44 PM