Datuk Hasni Mohammad.
Datuk Hasni Mohammad.
Mohamed Farid Noh


Johor Bahru: Kerajaan Johor bercadang untuk menaik taraf kawasan Kukup, Pontian termasuk menjadikannya sebagai zon bebas cukai.

Menteri Besar, Datuk Hasni Mohammad berkata, ia termasuk menaik taraf Jeti Terminal Feri Antarabangsa Kukup bagi merancakkan ekonomi masyarakat.

Beliau berkata, kerajaan sedang meneliti pelbagai kemudahan lain dalam usaha menjadikan Kukup sebagai mercu tanda pelancongan yang setanding dengan pintu masuk lain di negeri ini.

Katanya, pelbagai kemudahan lain boleh dimajukan di kawasan itu, antaranya kompleks bebas cukai dan hotel.

"Mungkin kita akan tambah lagi, bukan sekadar kompleks untuk kastam dan imigresen sahaja, sepatutnya ada kemudahan untuk kegunaan yang lain.

"Kalau jeti di sebelah Desaru itu dicadangkan untuk dijadikan zon bebas cukai, kenapa tidak di Kukup? Kalau di pintu masuk lain itu ada kemudahan penginapan tiga hingga lima bintang, mengapa tidak di Kukup?" katanya.

Beliau berkata demikian pada majlis Penyampaian Keputusan Permohonan Pembayaran Lesen Tol bagi Penternak-Penternak Ikan Sangkar di Kukup, di sini malam tadi.

Mengulas lanjut, Hasni berkata, semua usaha itu akan dilakukan tanpa mengubah tarikan sedia ada di kawasan itu yang terkenal dengan industri penternakan ikan dalam sangkar.

"Kita akan terus kekalkan aktiviti-aktiviti tradisinya seperti penternakan ikan sangkar kerana itu saya dan rakan-rakan dalam kerajaan hari ini, kita bersetuju untuk melanjutkan tempoh pajakan (TOL) kerana adanya nilai-nilai tarikan pelancong untuk menambah ekonomi masyarakat setempat," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 13 Mac 2021 @ 1:01 PM