ABDUL Hamid. FOTO BERNAMA
ABDUL Hamid. FOTO BERNAMA
Muhammad Zulsyamini Sufian Suri

Ipoh: Ketua Polis Negara Tan Sri Abdul Hamid Bador mengesahkan, seorang pegawai polis di Pulau Pinang bersekongkol dalam kegiatan jenayah dengan melepaskan suspek Macau Scam di negeri itu.

Abdul Hamid berkata, perkara itu disahkan hasil siasatan dijalankan Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) Bukit Aman terhadap pegawai polis yang difahamkan berpangkat Inspektor.

Difahamkan, pegawai terbabit bertugas di Bahagian Siasatan Jenayah Komersial, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Timur Laut.

"Tindakan akan diambil kerana ini terang-terang suatu pengkhianatan terhadap amanah yang diberi. Kita mahu dia dituduh di mahkamah kerana kita tidak cenedrung (hanya) kepada tindakan tatatertib yang (hukumannya) tidak setimpal mana.

"Jika dikenakan tatatertib iaitu di bawah bidang kuasa saya, hukumannya tidak setimpal kerana paling tinggi pun hanya lucut hak emolumen tujuh hari.

"Kesalahan ini berat dan di bawah bidang kuasa Suruhanjaya Pasukan Polis (SPP) yang diketuai menteri dan lapan ahli lain. Mereka yang akan memutuskan tindakan lanjut seperti turun pangkat atau buang kerja," katanya pada sidang media Majlis Pemakaian Sayap Juruterbang dan Penutupan Rasmi Kursus 'Private Pilot's Licence' (PPL) di Pangkalan Latihan Pasukan Gerakan Udara Polis Diraja Malaysia (PDRM) di sini, hari ini.

Abdul Hamid berkata, sebelum ini, amanat sudah disampaikannya kepada pegawai bawahannya agar menghentikan kegiatan sebegitu.

Sementara itu, beliau berkata, kompaun RM10,000 akibat pelanggaran prosedur operasi standard (SOP) mengekang wabak Covid-19 yang dilaksanakan bermula hari ini turut meletakkan kuasa budi bicara kepada pegawai yang diberi kuasa oleh Ketua Pengarah Kesihatan.

Beliau berkata, budi bicara dimaksudkan meliputi kuasa untuk memaafkan kesalahan melanggar SOP terbabit sekiranya didapati pelakunya mempunyai alasan kukuh.

"Ia bergantung kepada budi bicara pegawai yang diberi kuasa sama ada ingin kenakan kompaun (sehingga) RM10,000, RM1,000, atau (bahkan) dimaafkan atas budi kuasa melalui siasatan yang dijalankan pegawai itu," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 12 Mac 2021 @ 4:50 PM