PATI Indonesia yang ditangkap ketika cuba masuk ke Malaysia secara haram untuk bekerja. FOTO Melvin Joni
PATI Indonesia yang ditangkap ketika cuba masuk ke Malaysia secara haram untuk bekerja. FOTO Melvin Joni
Melvin Joni

EMPAT lelaki tempatan ditahan ketika cuba membawa masuk 20 warganegara Indonesia melalui jalan tikus di kawasan ladang kelapa sawit di Mongkos, Serian, Khamis lalu.

Komander Briged Pasukan Gerakan Am (PGA) Sarawak, Senior Asisten Komisioner Mancha Ata berkata, tangkapan dilakukan dalam Operasi Benteng dijalankan Plantun Komander Platun 5, Kompeni B Batalion 11 PGA pada jam 10.45 malam.

Katanya, salah seorang daripada lelaki tempatan terbabit cuba memberi suapan RM2,000 kepada ketua pasukan operasi supaya tidak dikenakan tindakan undang-undang.

"Pasukan operasi turut merampas sebuah motosikal, kenderaan pelbagai guna (MPV) Toyota Vellfire serta telefon bimbit.

"Warga tempatan yang ditahan itu akan disiasat mengikut Akta Anti Pemerdagangan Orang dan Penyeludupan Migran 2007.

"Manakala 15 lelaki dan lima wanita warganegara Indonesia disiasat mengikut Seksyen 6(1) (C) Akta Imigresen 1959/63 kerana gagal mengemukakan sebarang dokumen perjalanan yang sah," katanya dalam kenyataan media hari ini.

Katanya, lelaki yang menawarkan suapan turut disiasat mengikut Seksyen 17 (B) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 kes diserahkan kepada SPRM untuk tindakan lanjut.

Sabit kesalahan boleh didenda tidak kurang 10 kali ganda nilai suapan atau RM10,000 atau penjara maksimum 20 tahun.

Mancha berkata, kesemua yang ditangkap diserahkan kepada Ibu Pejabat Polis Daerah Serian untuk tindakan lanjut.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 15 Ogos 2020 @ 8:48 PM