DATUK Zainal Abidin Yang Razalli (tiga kiri) dan Abdul Rashid Bahri (kanan) membuat lawatan gerai jualan selepas gimik pelepasan Misi Bantuan Banjir Usahawan FAMA Selangor di Pasar Tani Stadium Shah Alam hari ini. FOTO Bernama
DATUK Zainal Abidin Yang Razalli (tiga kiri) dan Abdul Rashid Bahri (kanan) membuat lawatan gerai jualan selepas gimik pelepasan Misi Bantuan Banjir Usahawan FAMA Selangor di Pasar Tani Stadium Shah Alam hari ini. FOTO Bernama
Ruwaida Md Zain


Shah Alam: Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) Negeri Selangor berjaya mengumpul sumbangan berjumlah RM30,000 bagi membantu 138 rumah mangsa banjir di Kampung Paya Kechik Batu 4, Jalan Mentakab, Temerloh, Pahang.

Ketua Pengarah FAMA, Datuk Zainal Abidin Yang Razalli berkata, kutipan itu membabitkan kerjasama 44 pasar tani di seluruh Selangor dengan sumbangan pelbagai pihak terutamanya usahawan dan pengunjung pasar tani selain syarikat, individu serta badan bukan kerajaan (NGO).

"Sumbangan Misi Bantuan Bencana Banjir adalah salah satu projek Jawatankuasa Pasar Tani Negeri Selangor bagi membantu memberi sedikit keringanan beban serta keceriaan buat individu serta keluarga yang hilang sumber pendapatan disebabkan bencana.

"Usaha ini juga bagi menyuntik semangat kepada penerima sumbangan untuk menjalani kehidupan dengan lebih baik.

"Sumbangan RM30,000 itu diberikan dalam bentuk keperluan diri seperti kain pelikat, kain batik, berus gigi, sabun dan sebagainya serta keperluan asas seperti beras, minyak, gula, susu dan sebagainya," katanya pada Program Pelepasan Misi Bantuan Bencana Banjir Usahawan FAMA Negeri Selangor di Pasar Tani Stadium Shah Alam, di sini, tadi.

Turut hadir, Pengarah FAMA Negeri Selangor, Abdul Rashid Bahri dan Pengerusi Pasar Tani Negeri Selangor, Zul Ahmad.

Zainal Abidin berkata, kutipan sumbangan itu juga membuka ruang kepada semua usahawan dan pengunjung pasar tani Selangor untuk menyalurkan sumbangan kepada mangsa bencana itu.

"Usaha ini juga mewujudkan rasa prihatin dan ihsan usahawan terhadap kesengsaraan orang lain selain sebagai tanggungjawab sosial usahawan pasar tani.

"Semoga program ini menjadi salah satu usaha momentum keprihatinan semua usahawan dan pengunjung pasar tani tanpa mengira latar belakang diri dalam menghulurkan sumbangan serta mampu meringankan sedikit kesusahan yang dialami oleh golongan yang kurang bernasib baik yang terbabit dengan bencana alam," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 7 Februari 2021 @ 5:05 PM