SYAFIQ dan Diani menunjukkan rumpai Wolffia, sejenis tumbuhan terkecil dunia ketika ditemui di Kampung Behor Gonchar di sini. FOTO Bernama
SYAFIQ dan Diani menunjukkan rumpai Wolffia, sejenis tumbuhan terkecil dunia ketika ditemui di Kampung Behor Gonchar di sini. FOTO Bernama
BERNAMA

Kangar: Siapa sangka, bermula dengan membeli tumbuhan akuatik Azolla untuk memberi ikan peliharaan makan, seorang suri rumah menemui benih Wolffia, iaitu sejenis rumpai terkecil di dunia yang kini diusahakannya bagi menjana pendapatan tambahan keluarga.

Diani Iqlema Mohd Radzi, 31, berkata, jika dilihat dengan mata kasar, rumpai Wolffia tidak mempunyai akar dan tidak berdaun dengan ukuran yang sangat kecil berdiameter 0.01 milimeter sahaja dan bentuknya pula seakan-akan bintik tepung jagung yang mengembang di atas permukaan air.

"Rumpai Wolffia dahulunya tiada harga namun kini mampu mencecah sehingga RM240 sekilogram dan RM12 bagi 50 gram.

"Berat benih induk rumpai Wolffia yang ditemui bersama Azolla itu cuma sekitar 100 gram sahaja, jadi saya terfikir untuk membiakkannya selepas mengetahui rumpai ini sangat jarang ditemui dan ia mempunyai nilai pasaran yang agak tinggi," katanya ketika ditemui di kolam ternakannya di Kampung Behor Gonchar di sini.

Diani Iqlema berkata, dia memulakan pertanian rumpai Wolffia yang pertama di Perlis itu dengan membiakkannya di dalam sebuah kolam takungan fiber bersaiz sederhana yang direka suaminya.

Kini dia sudah pun memiliki sembilan buah tangki fiber rumpai Wolffia, yang dibiakkan di dua tempat berasingan selain di halaman rumahnya.

Rumpai Wolffia tidak mempunyai akar dan tidak berdaun dengan ukuran yang sangat kecil berdiameter 0.01 millimeter sahaja. FOTO Bernama
Rumpai Wolffia tidak mempunyai akar dan tidak berdaun dengan ukuran yang sangat kecil berdiameter 0.01 millimeter sahaja. FOTO Bernama

Diani Iqlema berkata bermodalkan kurang daripada RM300, dia kini mampu menjana pendapatan kira-kira RM2,000 sebulan dengan memasarkan rumpai berkenaan, bergantung kepada permintaan.

Menurut ibu kepada dua cahaya mata itu, selain menerima pelanggan setempat, beliau turut menjual secara dalam talian iaitu menerusi platform e-dagang Shopee.

Katanya, dia tidak menyangka tumbuhan itu mendapat permintaan yang tinggi bagi penggemar ikan hiasan seperti ikan laga dan ikan gupi yang menjadi trend ketika ini, sehingga tidak dapat menampung permintaan dan perlu mengambil pra pesanan.

"Ramai pelanggan dalam talian (Shopee) khususnya yang memilih Wolffia sebagai makanan semula jadi ikan kerana menurut mereka Wolffia mempunyai kadar protein yang sesuai untuk anak-anak ikan membesar dengan cepat selain sifatnya yang tidak mengeruhkan air," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 10 Mac 2021 @ 3:23 PM