KERABU rumpai laut.
KERABU rumpai laut.
ANGGOTA TLDM dan orang awam mencuba air rumpai laut.
ANGGOTA TLDM dan orang awam mencuba air rumpai laut.
AIR yang dihasilkan daripada rumpai laut.
AIR yang dihasilkan daripada rumpai laut.
MOHD Ridzuan menunjukkan dua jenis rumpai laut yang sudah siap dikeringkan.
MOHD Ridzuan menunjukkan dua jenis rumpai laut yang sudah siap dikeringkan.
Noor Hidayah Tanzizi


Mungkin ramai yang tidak mengetahui rumpai laut bukan saja bagus untuk kecantikan tetapi juga baik untuk kesihatan dengan pelbagai khasiat.

Rumpai laut juga dikenali sebagai ‘sea bird nest’ mengandungi sumber serat dan protein yang tinggi baik untuk penjagaan kulit selain khazanah laut itu boleh dimakan.

Ia antara hidangan popular di Sabah dan Sarawak.

Oleh itu, Jabatan Perikanan komited dalam mempromosikan produk berasaskan rumpai laut di Semenanjung Malaysia dengan mempelbagaikan variasi hasil laut itu bagi memudahkan masyarakat setempat menerimanya.

Penolong Pegawai Perikanan Bahagian Pengembangan dan Pemindahan Teknologi Jabatan Perikanan Putrajaya Mohd Ridzuan Mohamad Mokhtar berkata, dari itu tercetus idea menghasilkan kerabu rumpai laut bagi menambat selera orang ramai.

Katanya, rumpai laut yang bertekstur lembut, kenyal dan rangup itu tidak hanya baik untuk kecantikan tapi antara hidupan laut yang boleh dimakan dan mempunyai kebaikan kepada kesihatan antaranya masalah penghadaman dan kencing tak lawas.

“Cetusan idea ini datang daripada Ketua Pengarah Jabatan Perikanan yang juga hasrat jabatan untuk mempromosikan dan mempelbagaikan produk berasaskan rumpai laut.

“Jika di Sabah dan Sarawak rumpai laut adalah makanan popular, kita cuba bawa ke Semenanjung dengan produk yang mudah untuk masyarakat di sini terima,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Hari Terbuka Armada sempena sambutan Hari Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) ke-83 di Tambatan Pangkalan TLDM, Lumut, Perak, baru-baru ini.

Katanya, rumpai laut mempunyai dua spesies utama di Malaysia iaitu kappaphycus SP dan eucheuma cottonii sementara produk akan diklafisikasikan mengikut gred sebelum dipasarkan mengikut harga serta cara pengendalian yang berbeza.

“Selepas dibersihkan rumpai laut akan menjalani proses pengeringan semula jadi dengan cahaya matahari dan melalui proses itu ia dikelaskan mengikut gred seperti gred satu berwarna putih dengan tempoh pengembangan hanya dua jam sdan memerlukan dua kali bilas.

“Bagi gred dua yang berwarna perang ia mengambil masa enam jam untuk mengembang dengan proses bilas sebanyak empat kali. Ketiga memerlukan banyak penukaran air dan proses bilas sekurang-kurangnya enam kali,” katanya.

Menurutnya yang juga penyelaras inovasi produk, sebelum ini ramai yang beranggapan rumpai laut hanyir dan ada segelintir tidak tahu produk itu sesuai dimasak juadah.

“Ada juga ingat rumpai laut hanya untuk kosmetik tapi sebenarnya ia juga boleh dimakan tanpa ada kesan sampingan dan ia sesuai dijadikan kerabu serta air minuman.

Menurut Mohd Ridzuan, pihaknya mula menternak rumpai laut di Langkawi, Kedah dan mempromosikan produk berasaskan hidupan laut itu sejak tahun 2015.

Hingga kini sambutan yang diterima sangat menggalakkan.

“Sabah pengeluar terbesar rumpai laut dan anak benih dari sana dibawa ke Langkawi untuk diternak sebagai proses percubaan.

Ini antara usaha untuk menambah pengeluaran dan kawasan pengeluar,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 20 Jun 2017 @ 12:10 PM