GAMBAR HIASAN
GAMBAR HIASAN
Nurul Hidayah Bahaudin


Kuala Lumpur: Seorang tahanan lelaki ditemui meninggal dunia dalam keadaan tergantung dengan baju tahanan di jeriji besi pintu sel lokap Balai Polis Cheras, di sini, kelmarin.

Ketua Polis Daerah Cheras Asisten Komisioner Mohamed Mokhsein Mohamed Zon berkata, kejadian itu disedari oleh petugas di lokap berkenaan pada 12.30 tengah hari.

"Petugas itu mendapati seorang tahanan lelaki berusia 54 tahun berkenaan tergantung di jeriji besi pintu sel lokap menggunakan baju tahanan yang dibekalkan.

"Kejadian itu disedari petugas lokap ketika proses membawa keluar tahanan lain di sel lokap bersebelahan untuk proses siasatan kes lain.

"Ketika kejadian, lelaki itu berada di sel lokap berseorangan kerana tahanan lain yang ditempatkan dalam sel sama sudah dibawa keluar ke Mahkamah Jalan Duta, Kuala Lumpur untuk proses pertuduhan," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Mohamed Mokhsein berkata, lelaki itu ditahan pada 4 Mac lalu atas kesalahan memiliki dadah dan kes disiasat mengikut Seksyen 39(B) Akta Dadah Berbahaya 1952.

"Hasil ujian saringan air kencing dilakukan terhadap lelaki itu selepas dia ditahan didapati positif dadah jenis methamphetamin.

"Lelaki itu yang juga pemandu teksi dibenarkan reman bermula pada 4 hingga 10 Mac ini," katanya.

Beliau berkata, lelaki itu mempunyai empat rekod jenayah mengikut Seksyen 15 (1) (a) Akta Dadah Berbahaya 1952, Seksyen 386 Kanun Keseksaan, Seksyen 506 Kanun Keseksaan dan Seksyen 8 Akta Senjatapi 1971.

Katanya, Koroner dari Mahkamah Jalan Duta juga hadir menjalankan siasatan di lokap berkenaan pada 3 petang, kelmarin.

"Pakar Patologi dari Hospital Canselor Tuanku Mukhriz (HCTM) pula hadir menjalankan siasatan di lokap itu jam 3.05 petang, hari sama.

"Bedah siasat sudah dijalankan di HCTM, semalam dan siasatan lanjut diteruskan mengikut kes kematian mengejut (SDR).

"Siasatan dalaman oleh pihak Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard turut dibuat ke atas petugas lokap," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 10 Mac 2021 @ 2:38 PM