SIK menyampaikan sumbangan kepada kakak mangsa ketika berkunjung ke rumah mangsa di Kampung Tanah Puteh. FOTO Ramli Ibrahim
SIK menyampaikan sumbangan kepada kakak mangsa ketika berkunjung ke rumah mangsa di Kampung Tanah Puteh. FOTO Ramli Ibrahim
Ramli Ibrahim


Gua Musang: Polis masih mengesan kenderaan pelbagai guna (MPV) yang terbabit dalam kejadian langgar lari menyebabkan seorang pelajar cedera parah pada 14 Februari lalu.

Ketua Polis Daerah, Superintendan Sik Choon Foo berkata, pihaknya meminta orang ramai yang menyaksikan kejadian itu tampil membantu siasatan.

Katanya, rakaman kamera litar tertutup (CCTV) yang diperolehi daripada Hentian Gua Musang (HGM) tidak jelas.

Beliau berkata, hanya MPV itu dikenal pasti berwarna kelabu tetapi nombor pendaftaran tidak jelas kerana kejadian berlaku tengah malam.

"Apapun kita masih meneruskan siasatan dan kita menyifatkan pemandu MPV itu tidak bertanggungjawab," katanya ketika ditemui selepas memberi sumbangan kepada waris mangsa kejadian langgar lari itu di Kampung Tanah Puteh, hari ini.

Dalam kejadian jam 11 malam 14 Februari lalu, Faqih Yusof, 17, patah tulang rahang dan mengalami kecederaan di kepala akibat dilanggar di HGM.

Pelajar Sekolah Menengah Teknik Vokasional Kuala Krai itu ditinggalkan di tepi jalan sebelum dikejarkan ke Hospital Gua Musang oleh orang ramai.

Mangsa masih menerima rawatan di Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) Kubang Kerian, Kota Bharu bagi pembedahan tulang rahang yang patah.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 9 Mac 2021 @ 10:19 AM