Maiamalina Mohamed Amin dan Ramli Ibrahim


Gua Musang: Kanak-kanak berusia tiga tahun adalah satu-satunya mangsa tunggal terselamat dalam kemalangan ngeri mengorbankan tujuh ahli keluarganya.

Keluarganya terkorban dalam kemalangan empat kenderaan di Jalan Gua Musang-Kuala Krai, dekat Rancangan Kemajuan Tanah (RKT) KESEDAR Renok, di sini, pada 1.30 pagi, hari ini.

Muhammad Aqil Aliuddin Mohammad Amin Firdaus, 3, patah kaki kanan dan kini dirawat di Hospital Gua Musang (HGM), di sini.

Mereka terkorban adalah Mursyida Ahmad Latfi, 29, (ibu Muhammad Aqil Aliuddin), Mohammad Amin Firdaus Zakaria, 29 (bapanya) dan Nurhana Jannati, lima bulan (adiknya).

Turut maut adalah kembar kepada Mursyida iaitu Munira dan suami Norazami Mahat, 37, dan anak mereka, Rifqi Nazwan Norazami, tiga bulan, dan Raidatul Syazwani Abdullah, 4.

Kesemua mereka semua dalam perjalanan pulang ke kampung halaman di Kampung Kubang Badak, Kedai Lalat, Kota Bharu.

Terdahulu, ibu kepada arwah Mursyida dan Munira iaitu Radziah Abu Bakar, 57, dan ahli keluarganya melakukan pengecaman jenazah di Jabatan Forensik HGM.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 4 Julai 2016 @ 8:35 AM