CHE Abdullah melihat mempelam harumanis yang ditanam di di Inapan Seri Laksamana. FOTO Noorazura Abdul Rahman
CHE Abdullah melihat mempelam harumanis yang ditanam di di Inapan Seri Laksamana. FOTO Noorazura Abdul Rahman
Noorazura Abdul Rahman

Kubang Pasu: Kerajaan komited untuk memastikan pengeluaran makanan negara terus meningkat meskipun berdepan cabaran tanah pertanian yang semakin terhad.

Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Makanan II, Datuk Che Abdullah Mat Nawi berkata, ia termasuk pengurangan tanah sawah akibat keperluan manusia untuk membina rumah.

"Memang ini satu fenomena yang biasa bukan saja dalam negara tapi di seluruh dunia, kita juga faham keperluan asas manusia yang memerlukan rumah.

"Jadi ini adalah cabaran kepada sektor pertanian dan kementerian untuk memastikan hasil makanan kita bertambah dalam suasana tanah pertanian yang semakin berkurangan.

"Jika tanah pertanian yang sama pun ada cabaran untuk tambah hasil, apatah lagi tanah yang semakin kurang," katanya ketika ditemui selepas Program Jalajah Agropreneur Muda (JAM) di Inapan Seri Laksamana, di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Che Abdullah berkata, kerajaan sentiasa mengambil langkah untuk mengatasi kekurangan pengeluaran makanan termasuk menubuhkan Jawatankuasa Kabinet Mengenai Dasar Sekuriti Makanan Negara yang dipengerusikan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Katanya, penubuhan jawatankuasa itu membuktikan kerajaan secara serius mahu mengatasi masalah keselamatan makanan terutama ketika dunia sedang berdepan pendamik Covid-19.

"Kita juga mahu mengurangkan kebergantungan kepada makanan import... Banyak yang kita rancang dalam Dasar Agro Makanan 2.0 yang akan dilancarkan tidak lama lagi bagi memacu sektor agro makanan negara," katanya.

Dalam pada itu, Che Abdullah, berkata, kementerian mensasarkan untuk melahirkan 750 usahawan muda berjaya sepanjang tahun ini menerusi Program Agropreneur Muda (PAM).

Katanya, sejak diperkenalkan pada 2016, program itu sudah melahirkan 6,969 usahawan muda di seluruh negara membabitkan peruntukan bernilai RM126.23 juta.

"Terdapat pelbagai subsektor dalam PAM seperti tanaman, perikanan, ternakan, industri makanan serta agro pelancongan dan antara syarat kelayakan untuk program ini ialah mesti warganegara berusia di antara 18 hingga 40 tahun dan keutamaan diberi kepada individu yang sudah mempunyai tanah atau premis untuk pelaksanaan projek.

"Setakat ini usahawan paling tinggi terbabit dalam PAM adalah sektor tanaman seramai 2,740 orang, diikuti perikanan (558 orang)," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 8 Mac 2021 @ 4:23 PM