GAMBAR HIASAN
GAMBAR HIASAN
BERNAMA

Gua Musang: Unit Udara Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) melakukan penerbangan ihsan membawa dua wanita Orang Asli yang sakit hendak bersalin dari Pos Gob dekat sini, ke Hospital Gua Musang, pagi hari ini.

Norti Adek, 35, dan Senah Raman, 35, yang sarat mengandung sembilan bulan, sudah tiga hari sakit hendak bersalin tetapi menghadapi kesukaran untuk dihantar dengan kenderaan darat kerana keadaan jalan yang rosak teruk sejak musim banjir November lalu.

Pegawai Perhubungan Awam Pangkalan Udara Subang Penolong Penguasa Bomba Mohd Farhan Marzuki berkata, terdahulu pihaknya menerima permohonan penerbangan ihsan itu daripada Jabatan Kemajuan Orang Asli (Jakoa) Gombak pada 6 petang semalam.

"Penerbangan ihsan itu menggunakan helikopter Agusta AW139 diketuai juruterbang Penguasa Bomba, Muhammad Muizz Md Pisar dan dibantu Penolong Juruterbang Penolong Kanan Penguasa Bomba, Muhammad Akmaluddin Said.

"Helikopter berlepas dari Pangkalan Udara JBPM Bertam, Pulau Pinang pada 8.58 pagi, tiba di Pos Gob 9.45 pagi.

"Helikopter membawa dua wanita itu kemudiannya mendarat di pekarangan Balai Bomba dan Penyelamat Gua Musang pada 10.25 pagi," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Mohd Farhan berkata, kedua-dua wanita itu kemudiannya dihantar ke Hospital Gua Musang menggunakan kenderaan Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) JBPM dan kedua-dua mereka dalam keadaan stabil.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 2 Mac 2021 @ 7:49 PM