ANGGOTA polis dibantu anggota JPJ memeriksa kenderaan di Sekatan Jalan Raya (SJR) di Plaza Tol Jalan Duta, Kuala Lumpur. FOTO HAIRUL ANUAR RAHIM
ANGGOTA polis dibantu anggota JPJ memeriksa kenderaan di Sekatan Jalan Raya (SJR) di Plaza Tol Jalan Duta, Kuala Lumpur. FOTO HAIRUL ANUAR RAHIM
Juwan Riduan


Kota Kinabalu: Tahap penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) tidak akan dikurangkan walaupun keadaan cuaca buruk melanda seluruh Sabah, ketika ini.

Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Hazani Ghazali berkata, amaran dikeluarkan berikutan tindakan orang ramai yang dikesan cuba mengambil kesempatan melakukan rentas daerah sejak beberapa hari lalu.

Katanya, sebelum ini tular di media terdapat 100 kenderaan dihalang dan diarahkan berpatah balik di Tawau selepas didapati cuba mengambil kesempatan untuk keluar.

"Mungkin sebab hujan, ada menganggap sekatan jalan raya (SJR) tidak dapat dilaksanakan, tetapi kita teruskan walaupun hujan dan ambil tindakan sewajarnya.

"Jadi gesaan saya, patuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) dan jangan keluar dari rumah jika tiada keperluan mendesak," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas Majlis Penyerahan Sumbangan Badan Korporat di Ibu Pejabat Kontinjen (IPK) Sabah, hari ini.

Sumbangan itu disampaikan Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Jahid Jahim.

Sehubungan itu, Hazani berkata, setakat ini sebanyak 93 peratus pematuhan SOP masyarakat setempat direkodkan dalam tempoh seminggu selepas PKP dilaksanakan di Sabah.

Katanya, pematuhan SOP itu akan dipertingkatkan lagi dalam kalangan masyarakat setempat dalam usaha memutuskan jangkitan pandemik Covid-19.

"Setakat hari ini, pematuhan SOP di Sabah adalah 93 peratus dan kita akan tingkatkan lagi. Kita minta penduduk Sabah mematuhi SOP.

"Pada kali ini, kami tidak akan berkompromi lagi dan kita nak kurangkan jangkitan Covod-19 di Sabah," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 20 January 2021 @ 12:02 AM