Sri Ayu Kartika Amri

Kuala Lumpur: Penguatkuasaan yang lebih ketat perlu diambil segera sekiranya hendak menurunkan jangkitan kes Covid-19 di negara ini yang dilihat sudah menjangkau lebih 4,000 kes sehari.

Pakar Kesihatan Pekerjaan, Kecemasan dan Kesihatan Am Dr Hanafiah Bashirun berkata, selepas pelaksanaan perintah kawalan pergerakan (PKP) dibuat sejak Mac 2020 dan garis panduan prosedur operasi standard (SOP) diwujudkan, sudah tiba masanya kerajaan memperketatkan penguatkuasaan bagi membendung kes Covid-19.

Beliau percaya melalui penguatkuasaan ketat sahaja kes jangkitan dapat dikawal, memandangkan masih ramai pihak yang sambil lewa mematuhi SOP.

"Penguatkuasaan perlu diperluaskan tidak hanya kepada individu dan premis perniagaan malah di tapak pembinaan, kilang serta tempat tinggal pekerja.

"Malah, untuk melaksanakan penguatkuasaan lebih ketat ini, kita tidak boleh hanya bergantung harap dengan anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) sahaja."Sudah tiba masanya, agensi dan badan lain diguna pakai dalam memastikan penguatkuasaan ini berkesan," katanya ketika dihubungi Harian Metro, hari ini.

Dr Hanafiah berkata, sama ada selepas ini kerajaan melaksanakan PKP atau PKPB, ia dilihat masih sukar untuk melandaikan kes jangkitan Covid-19.

Menurutnya, situasi yang jelas kelihatan sekarang adalah tiada tindakan susulan diambil lebih-lebih lagi di industri besar seperti tapak pembinaan dan kilang.

"Ada pekerja mereka yang positif tetapi kilang masih terus beroperasi dan kalau majikan memandang serius Covid-19 ini, sudah pasti kes jangkitan tidak ada di kawasan mereka.

"Jika boleh adakan satu sistem di mana pegawai kanan 'jaga' atau pengawal keselamatan boleh mengambil gambar dan membuat laporan kepada pihak berkuasa supaya polis dapat membuat siasatan.

"Sebab kita tahu rakyat kita berbeza sebagai contoh di Taiwan, disiplin mereka tinggi dan di Malaysia kita kena paksa buat penguatkuasaan sehingga semua orang dengar cakap dan patuh arahan," katanya.

Tambah beliau, ahli politik juga perlu memainkan peranan menurunkan kes Covid-19 ini dan mengetepikan isu perebutan kuasa.

"Setiap ahli politik mempunyai bahagian industri masing-masing dan mereka perlu tampil membangunkan sistem yang dapat membantu orang ramai mematuhi SOP," katanya.

Selain itu, beliau berkata kerajaan dan pihak berkenaan sepatutnya sekarang memperlihatkan kepada umum betapa seriusnya penguatkuasaan yang dibuat.

"Misalnya, jika sebelum ini kita 'sibuk' melihat jumlah kes jangkitan, tetapi sekarang kita perlu tekankan berapa jumlah saman dan tindakan diambil ke atas mereka yang tidak patuh SOP.

"Memang jumlah saman RM1,000 itu tinggi, tetapi dalam keadaan Covid-19 sekarang biarlah semua rakyat mematuhi SOP kerana tidak hairan kes jangkitan boleh mencecah sehingga 5,000 sehari seperti yang diramalkan jika kita ambil mudah isu ini," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 29 January 2021 @ 3:02 PM
    Tinjauan pematuhan SOP oleh orang ramai ketika membeli barangan keperluan di dalam pasaraya sekitar Kuala Lumpur berikutan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP). FOTO EIZAIRI SHAMSUDIN
    Tinjauan pematuhan SOP oleh orang ramai ketika membeli barangan keperluan di dalam pasaraya sekitar Kuala Lumpur berikutan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP). FOTO EIZAIRI SHAMSUDIN