Nor Fazlina Abdul Rahim

Kota Bharu: Sebanyak 55 kenderaan yang cuba memasuki Kelantan diarah berpatah balik berikutan tidak mempunyai surat kebenaran polis merentas negeri semalam.

Mereka diminta berbuat demikian ketika melalui sekatan jalan raya (SJR) di sempadan negeri iaitu Gua Musang, Pasir Puteh dan Jeli.

Mereka kebanyakannya datang dari Pahang, Perak dan Terengganu yang mencuba nasib untuk pulang ke kampung halaman menyambut Aidiladha.

Timbalan Ketua Polis Kelantan, Senior Asisten Komisioner Abdullah Muhammad Piah berkata, mereka tidak mempunyai surat kebenaran rentas negeri menyebabkan pihaknya mengarahkan mereka berpatah balik.

GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP
GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP

"Kita mendapati mereka hanya mencuba nasib dan sanggup memandu jauh untuk pulang ke Kelantan menyambut Aidiladha walaupun sedar peluang untuk rentas negeri adalah sukar, memandangkan tidak mempunyai surat kebenaran.

"Kita berharap tindakan yang diambil polis ini menjadi pengajaran kepada mereka yang lain supaya tidak mencuba untuk merentas negeri," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Dalam perkembangan lain, Abdullah berkata, aliran trafik di Kelantan hari ini lancar tanpa berlaku peningkatan kenderaan.

"Malah, kemasukan kenderaan di tiga SJR di sempadan negeri juga seperti biasa dan tidak berlaku peningkatan.

"Kita akan membuat pemeriksaan rapi di SJR dan akan memastikan tiada individu yang cuba mengambil kesempatan untuk merentas negeri tanpa kebenaran," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 19 Julai 2021 @ 4:14 PM