Nor Azman (kanan) berbincang dengan Kadir di Pantai Kundor, Tanjung Kling. Roslan (kanan atas)  dan Faizal (kanan bawah). FOTO Hasan Omar.
Nor Azman (kanan) berbincang dengan Kadir di Pantai Kundor, Tanjung Kling. Roslan (kanan atas) dan Faizal (kanan bawah). FOTO Hasan Omar.
Hassan Omar


Melaka: Tiga rakyat Malaysia yang ditahan pihak berkuasa Indonesia di Bengkalis akan dibawa pulang Ahad ini.

Mereka terdiri daripada dua nelayan, Md Roslan Kadir, 43, dan Faizal Jailani, 38, dari Pantai Kundor, Tanjung Kling yang hanyut hingga Pulau Rupat dekat Bengkalis minggu lalu.

Seorang lagi adalah Muhammad Faizul Hakimie, 21, tahun dari Batu Berendam yang ditahan di Depoh Imigrasi di Bengkalis sejak akhir tahun lalu.

Pemuda itu dikatakan melancong ke Bengkalis ditahan pihak berkuasa Indonesia kerana tinggal melebihi tempoh dibenarkan.

Ahli Lembaga Pengarah yang juga bekas Setiausaha Agung Sekretariat Dunia Melayu Dunia Islam (DMDI) Datuk Abu Bakar Abdul berkata, pihaknya dan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Pantai Kundor, Datuk Nor Azman Hassan sudah melakukan pelbagai usaha sejak minggu lalu untuk membawa pulang ketiga-tiga lelaki itu.

"Kesemua mereka akan dibawa pulang dengan pembiayaan Adun Pantai Kundor," katanya di sini, hari ini.

Sementara itu, Nor Azman berkata, Konsulat Malaysia di Medan, Indonesia bekerjasama dengan pihak berkuasa republik berkenaan untuk membawa pulang ketiga-tiga lelaki terbabit.

"Keseluruhan kos yang perlu dijelaskan kepada Imigrasi Indonesia, termasuk penginapan mereka di Bengkalis sebelum pulang dan setibanya di Terminal Feri Antarabangsa Johor Bahru di Stulang Laut adalah kira-kira RM10,000.

"Mereka dijangka menaiki feri pada 10 pagi waktu Indonesia dan dijangka tiba di terminal itu pada jam 12 tengah hari waktu Malaysia sebelum dikuarantin 10 hari di Johor Bahru," katanya.

Dalam pada itu, bapa Md Roslan, Kadir Abdullah, 67, berkata, seorang lelaki dari Pulau Rupat yang menghubunginya minggu lalu mendakwa, kedua-dua nelayan itu ditemukan penduduk tempatan dalam keadaan bergayut pada perahu gentian kaca yang terbalik di perairan pantai Lecah.

Kadir berkata, anaknya dan Faizal turun ke laut dari pangkalan nelayan Kampung Pantai Kundor, 7 pagi pada 16 Februari lalu untuk menangkap ikan tetapi enjin bot sangkut rosak menyebabkan mereka hanyut ke Pulau Rupat.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 25 Februari 2021 @ 11:01 AM