MUHAMMAD Faizul (dari kiri), Md Roslan, Faizal dan Ahmad Radzi tiba di Terminal Feri Antarabangsa Johor Bahru di Stulang Laut Ahad lalu.
MUHAMMAD Faizul (dari kiri), Md Roslan, Faizal dan Ahmad Radzi tiba di Terminal Feri Antarabangsa Johor Bahru di Stulang Laut Ahad lalu.
Hassan Omar


Melaka: Tiada apa yang terbayang dalam fikiran dua nelayan dari Pantai Puteri, Tanjung Kling, di sini yang hanyut ke Pulau Rupat, Indonesia pada 16 Februari lalu kecuali maut.

Dalam kejadian jam 3 petang itu, enjin sangkut perahu gentian kaca digunakan Md Roslan Kadir, 43, dan Faizal Jailani, 38, kehabisan petrol ketika dalam perjalanan pulang selepas menangkap ikan.

Md Roslan berkata, mereka turun ke laut pada 9 pagi 16 Februari lalu dan selesai menarik rawai kira-kira jam 3 petang tetapi terpaksa melawan ombak besar dalam perjalanan pulang.

"Akibatnya, minyak habis dan kami tidak dapat berbuat apa-apa selain berserah kepada takdir apabila perahu kami dihanyutkan ombak ke Pulau Rupat.

"Sepanjang dihanyutkan ombak, kami hanya mampu berdoa dan terpaksa menahan lapar serta dahaga sebelum kami menghampiri pantai Lechah, Pulau Rupat pada jam 7 pagi, 18 Februari," katanya ketika dihubungi di sebuah hotel di Johor Bahru, hari ini.

Bapa kepada dua anak lelaki berusia 13 dan 15 tahun itu berkata, mereka cuba melambai kapal dagang yang melalui laut Selat Melaka tetapi gagal menarik perhatian mereka.

Dia berkata, ketika menghampiri pantai itu tiba-tiba perahu mereka karam akibat dihempas ombak besar tetapi mereka terselamat selepas berjaya berenang ke pantai sebelum diselamatkan penduduk tempatan.

"Kami sangat letih kerana tidak makan dan minum kira-kira 43 jam tetapi kami gagahkan semangat untuk mendarat di pantai dan Alhamdulillah kami diselamatkan oleh penduduk kampung," katanya.

Mereka ditahan di Imigrasi Kelas II TPI Bengkalis, Kementerian Hukum dan Hak Asasi Manusia Republik Indonesia sebelum usaha membawa mereka pulang dibuat Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Pantai Kundor, Datuk Nor Azman Hassan dengan kerjasama Sekretariat Dunia Melayu Dunia Islam (DMDI).

Turut dibawa pulang ialah Muhammad Faizul Hakimie, 21, dari Batu Berendam, dekat sini yang ditahan kerana tinggal melebihi tempoh.

Turut dibawa pulang kanak-kanak berusia 11 tahun, Ahmad Radzi Djonaidi, yang tidak sempat pulang ke Tampoi, Johor Bahru selepas dibawa bapanya ke rumah neneknya di Tanjung Balai, Riau pada Februari 2020 susulan perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 1.0 pada Mac tahun lalu.

Mereka dibawa pulang dari Batam, Indonesia pada Ahad lalu dengan kos RM20,000 untuk segala urusan berkenaan dan kuarantin selama 10 hari dibiayai oleh Nor Azman.

Sejurus tiba di terminal feri berkenaan, mereka menjalani ujian calit sebelum dibawa ke hotel itu dan hari ini menjalani kuarantin hari yang keempat.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 3 Mac 2021 @ 10:52 AM