GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP
GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP
Amir Abd Hamid

Kuala Lumpur: Seramai 4,756 petugas kesihatan dijangkiti Covid-19 sekali gus berlaku peningkatan mendadak penularan jangkitan pandemik itu terhadap barisan hadapan.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, setakat hari ini, data menunjukkan daripada 4,756 petugas kesihatan yang dijangkiti itu, seramai 3,101 adalah wanita manakala 1,655 adalah petugas lelaki.

"Kajian mendapati sebanyak 43 peratus jangkitan berlaku dari komuniti bukannya di hospital.

"Malah, semalam saja, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menerima laporan sebanyak 85 kes jangkitan berlaku membabitkan petugas kesihatan.

"Baru-baru ini juga, berlakunya jangkitan dalam kalangan staf KKM di Hospital Sultanah Nur Zahirah, Kuala Terengganu menjadikan jumlahnya kepada 93 kes," katanya dalam sesi maya libat urus darurat Covid-19 bersama Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia Siri 2/2021, hari ini.

Sesi bersama media dikendalikan Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan (Penyelidikan dan Sokongan Teknikal) KKM, Datuk Dr Hishamshah Mohd Ibrahim sebagai moderator itu turut menampilkan ahli panel, Pakar Perunding Kanan Penyakit Berjangkit Hospital Sungai Buloh Datuk Dr C Suresh Kumar, Ketua Unit Virologi Institut Penyelidikan Perubatan (IMR) Dr T Ravindran, Pengarah Makmal Kesihatan Awam Kebangsaan (MKAK) Dr Hani Mat Hussin dan Ketua Penolong Pengarah Kanan Bahagian Amalan Perubatan KKM Dr Mohamed Ahsan Mohamed Ismail.

Dr Noor Hisham berkata, jumlah tinggi jangkitan itu menunjukkan bahawa barisan hadapan kesihatan mempunyai risiko tinggi untuk dijangkiti.

"Pengesanan kontak rapat segera mampu memastikan tiadanya penularan wabak yang membolehkan wujudnya kluster baharu," katanya sambil menjelaskan petugas kesihatan akan menjadi antara keutamaan diberi vaksin Covid-19.

Disember tahun lalu, beliau mendedahkan seramai 1,880 petugas kesihatan dijangkiti Covid-19 selepas melalui saringan susulan peningkatan kes dalam kalangan petugas kesihatan terutama di fasiliti kesihatan di zon merah dan kawasan berisiko tinggi.


Sementara itu, Dr Noor Hisham berkata, KKM melihat kemungkinan menurunkan kuasa kepada pihak swasta bagi menyelaras dan memudahkan pengurusan pesakit Covid-19 yang dirawat atau membuat ujian calitan di kemudahan swasta.

Menurutnya, ketika ini pengamal perubatan swasta tidak dibenarkan untuk memakaikan gelang kuarantin dan mengeluarkan perintah pengawasan di rumah (HSO) sebagaimana rakan sejawat di KKM.

"Dengan penurunan kuasa itu, pengawal perubatan swasta boleh mengeluarkan perintah pelepasan terhadap pesakit yang sudah menamatkan tempoh pengasingan di rumah.

"KKM sedang melihat menurunkan kuasa kepada pengamal perubatan swasta bagi membolehkan mereka mengeluarkan HSO serta pemakaian gelang dan selepas tempoh pengasingan, mereka boleh mengeluarkan perintah pelepasan dan memotong gelang," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 5 Februari 2021 @ 8:13 PM