MERCU tanda I Love KK di Kota Kinabalu. FOTO Arkib NSTP
MERCU tanda I Love KK di Kota Kinabalu. FOTO Arkib NSTP
Izwan Abdullah


Kota Kinabalu: Gelembung Pelancongan Bersasar turut dibenarkan di Sabah bagi membantu memulihkan aktiviti pelancongan domestik sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) yang dikuatkuasakan di negeri itu.

Bagaimanapun, kebenaran itu hanya membabitkan pergerakan pelancong antara zon dalam negeri Sabah, manakala pergerakan yang merentas negeri seperti dibenarkan di Semenanjung masih dilarang.

Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan negeri, Datuk Masidi Manjun berkata, syarat pergerakan pelancong masih sama iaitu perlu menggunakan perkhidmatan syarikat agensi pelancongan berdaftar dengan Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (Motac).

Katanya, pergerakan juga hanya menggunakan kenderaan pelancongan yang berdaftar dengan Motac, manakala pergerakan secara persendirian tidak dibenarkan.

"Syarikat agensi pelancongan perlu mendapat kebenaran pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk pergerakan merentas zon.

"Perjalanan mestilah terus ke zon yang berkenaan dan tidak dibenarkan berhenti di lain-lain kawasan atau zon berbeza. Tempat penginapan dan aktiviti pelancongan perlu ditetapkan lebih awal.

"Bagaimanapun, kemasukan pelancong dari luar Sabah belum dibenarkan. Kebenaran tertakluk kepada pelancongan dalam negeri (Sabah) sahaja," katanya dalam kenyataan media mengenai perkembangan Covid-19 Sabah, di sini, malam tadi.

Beliau berkata, kapasiti penginapan dan aktiviti pelancongan adalah pada kadar 50 peratus dan tertakluk kepada prosedur operasi standard (SOP) sektor pelancongan dan kebudayaan yang ditetapkan Kementerian Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah dan Kementerian Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah.

Minggu lalu, Gelembung Pelancongan Bersasar mula dilaksanakan di Semenanjung yang membolehkan pelancong dari kawasan PKPP merentas ke negeri berstatus PKPP yang lain.

Sementara itu, Masidi menekankan bas ekspres yang dibenarkan beroperasi merentas zon bermula kelmarin hanya dibolehkan membawa penumpang yang sudah mendapatkan kebenaran pergerakan daripada PDRM.

Katanya, bilangan penumpang yang dibenarkan dibawa dalam sebuah bas juga dihadkan kepada 50 peratus daripada kapasiti bas, selain perlu mematuhi SOP yang ditetapkan Kementerian Kerja Raya Sabah.

Mengenai perkembangan semasa Covid-19, Masidi yang juga jurucakap perkara itu bagi negeri Sabah, berkata sebanyak 38 kes baharu direkodkan semalam berbanding 29 kes kelmarin.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 17 Mac 2021 @ 8:49 AM