GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP
GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP
Amir Abd Hamid


Kuala Lumpur: Kebenaran aktiviti pelancongan dan kebudayaan domestik di kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) tidak memberi impak tinggi.

Presiden Persatuan Agensi Pelancongan Malaysia (MATA) Datuk Mohd Khalid Harun berkata, industri pelancongan negara hanya akan berkembang semula apabila merentas negeri dibenarkan.

Katanya, ini kerana pada kebiasaannya, pelancong yang berkunjung ke sesuatu tempat bukanlah penduduk di kawasan berkenaan.

"Contohnya Port Dickson di Negeri Sembilan, kebanjiran pelancong kebanyakannya dari Lembah Klang.

"Maka, rentas negeri mesti dibenarkan, barulah ekonomi berasaskan pelancongan boleh bergerak semula. Jika tidak, tak perlulah cerita pasal pelancongan," katanya ketika dihubungi, hari ini.

MATA mempunyai hampir 4,000 ahli terdiri pengusaha agensi pelancongan, premis penginapan, inap desa, pemandu pelancong, syarikat penerbangan, pengusaha taman tema, syarikat pengurup wang, insurans dan usahawan kecil sederhana.

Timbalan Presiden Persatuan Hotel Bajet dan Bisnes Malaysia (MYBHA) Dr Sri Ganesh Michiel pula menyifatkan masyarakat setempat lebih cenderung untuk bercuti di luar kawasan penempatan mereka.

"Aktiviti pelancongan setempat hanya berkesan pada musim percutian sahaja.

"Justeru, kerajaan harus mengkaji langkah bersesuaian dalam usaha untuk memastikan industri pelancongan dan perhotelan dapat bertahan," katanya yang berharap industri itu bernafas semula.

Sementara itu, Eksekutif Teknologi Maklumat, Mohd Shukri Ibrahim, 43, menyambut baik kebenaran diberikan kerajaan untuk aktiviti pelancongan lokasi setempat.

Menurutnya, dia bersama isteri dan anak perempuan berusia tujuh tahun teringin bercuti selepas lama tidak berbuat demikian akibat bimbang dengan penularan Covid-19.

"Dah lama tak bawa keluarga jalan-jalan. Selain bagi anak seronok, kebenaran aktiviti pelancongan setempat boleh menaikkan kembali industri pelancongan tempatan yang sudah suram," katanya.

Manakala, penjawat awam, Syahrul Hisyam Abdul Karim, 43, berkata dia setuju kebenaran aktiviti pelancongan domestik, namun perlu mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang lebih ketat.

"Selain itu lokasi yang dibenarkan aktiviti pelancongan perlulah ada pemantauan pihak berkuasa.

"Kita tidak mahu nanti timbul pula kluster berkaitan industri ini. Apa pun, kebenaran aktiviti seumpamanya penting dalam memulihkan ekonomi setempat," katanya.

Khamis lalu, Menteri Kanan Keselamatan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dilapor berkata, aktiviti pelancongan seperti zoo, akuarium dan taman rekreasi di kawasan PKPB dan PKPP dibenarkan beroperasi pada kapasiti 50 peratus keluasan premis.

Kebenaran turut diberikan dengan syarat sama di premis seni budaya dan warisan seperti perpustakaan, muzium, galeri seni, pentas persembahan budaya, pusat hiburan keluarga dan taman tema luar.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 22 Februari 2021 @ 5:25 PM