Siti Rohana Idris


Machang: Setiap pagi dia akan keluar berjalan kaki menyelongkar tong sampah untuk memungut tin atau botol kosong sebelum dibawa balik.

Rutin itu dilakukan Nik Ismail Nik Yahya, 42 yang berstatus orang kurang upaya (OKU) lembam yang tinggal seorang diri sejak kira-kira 20 tahun lalu di Kampung Pangkal Ketereh, di sini.

Dari luar, tempat tinggal yang dihuni Nik Ismail seakan tidak berpenghuni kerana binaannya tidak sempurna dengan bahagian belakang yang berstruktur kayu hanya menunggu masa untuk runtuh, manakala di halamannya pula terdapat timbunan 'sampah', hasil selongkar daripada tong sampah yang dibawa pulang olehnya.

Menurut ibu saudaranya, Wan Rahmah Wan Ismail, 66, semua tin dan botol kosong yang dibawa pulang itu akan dijual oleh Nik Ismail jika ada lori yang mengambil besi buruk masuk ke kampung mereka.

"Walau sudah banyak kali melarangnya melakukan aktiviti itu kerana bimbangkan keselamatannya yang keluar tambahan pula dia juga menghidap sawan.

"Bagaimanapun larangan itu tidak diendahkan dan setiap hari pada waktu pagi dia akan berjalan sekitar kampung ini sebelum pulang dengan membimbit plastik yang dipenuhi tin dan botol kosong dan ditimbun di hadapan rumah untuk dijual," katanya ketika ditemui di rumahnya di sini, baru-baru ini.

Melangkah masuk ke rumah tidak siap yang dihuni Nik Ismail, kelihatan lantai dan dindingnya masih lagi bersimen, keadaan berselerak malah tempat tinggalnya itu sering 'ditumpangi' haiwan seperti kucing dan ayam malah kelihatan bekas kecil diisi beras yang mungkin untuk memberi ayam makan.

Tiada sebarang peralatan lain kecuali tilam nipis sahaja sebagai alas tidurnya dan turut kelihatan beberapa perkakas memasak termasuk tong gas yang difahamkan hanya digunakan sesekali sahaja kerana Nik Ismail kerap membawa pulang makanan yang diberikan oleh orang ramai.

Wan Rahmah berkata, anak saudaranya itu mempunyai lima lagi adik-beradik namun menetap di luar Kelantan manakala abang yang sulung tinggal di Kuala Krai dan ada sesekali menziarahinya serta mengirimkan wang untuk kegunaan adiknya itu.

"Adik-beradiknya ada mengajak Nik Ismail tinggal bersama namun dia enggan dan memilih untuk tinggal berseorangan di rumah yang tidak siap itu.

"Sesekali dia akan datang ke rumah saya dan meminta untuk dimasak makanan namun kerap juga dia membawa pulang bungkusan makanan yang disedekahkan oleh sesiapa yang mengenalinya atau dijumpai di tengah jalan," katanya.

Terdahulu mereka menerima kunjungan kumpulan aktivis masyarakat, Cempaka Merah Asnaf Society yang diwakili Che Norhayati Mohamed yang akan cuba membantu OKU itu dengan mencari dana untuk membaikpulih kediaman Nik Ismail bagi keselesaannya selain sudah disediakan beberapa perkakas rumah yang lain.

 Keadaan rumah yang dihuni lelaki OKU, Nik Ismail Nik Yahya, 42, dalam keadaan tidak sempurna dengan bahagian belakangnya hampir roboh manakala halamannya dipenuhi timbunan tin dan botol kosong di Kampung Pangkal Ketereh. FOTO SITI ROHANA IDRIS
Keadaan rumah yang dihuni lelaki OKU, Nik Ismail Nik Yahya, 42, dalam keadaan tidak sempurna dengan bahagian belakangnya hampir roboh manakala halamannya dipenuhi timbunan tin dan botol kosong di Kampung Pangkal Ketereh. FOTO SITI ROHANA IDRIS

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 18 Februari 2021 @ 1:38 PM