Foto hiasan
Foto hiasan
Nurul Fatihah Sulaini

LELAKI yang juga orang kurang upaya (OKU) ditemui mati di ruang tamu rumahnya di Kampung Bukit Kenak di Jertih hari ini.

Mangsa berusia 44 tahun ditemui dalam keadaan tertiarap dan berpakaian lengkap.

Ketua Polis Daerah Besut Superintendan Abdul Rozak Muhammad berkata, mayat lelaki itu dijumpai anak saudaranya yang tinggal bersebelahan rumah mangsa kira-kira 12 tengah hari sebelum menghubungi Balai Polis Jertih.

“Keluarga mangsa memaklumkan lelaki berkenaan mempunyai masalah mental sejak 20 tahun lalu dan tinggal bersendirian di rumah itu.

“Abang kandungnya memberitahu kali terakhir adiknya datang menemuinya pada Selasa lalu kira-kira 9 pagi,” katanya.

Menurutnya, pemeriksaan awal mendapati mangsa dipercayai sudah meninggal dunia lebih 24 jam dengan keadaan mayat yang sudah membengkak serta berbau.

“Keadaan rumah kayu didudukinya itu juga didapati tidak terurus, berselerak dan penuh dengan sampah sarap, tin minuman serta botol kosong.

“Unit Forensik Polis Diraja Malaysia (PDRM) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Terengganu turut juga ke lokasi bagi membantu siasatan.

“Buat masa ini kes terbabit diklasifikasikan sebagai mati mengejut,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 5 Disember 2019 @ 8:25 PM