FOTO HIASAN.
FOTO HIASAN.
Redzuan Muharam


Kuala Lumpur: Tiada kehadiran warga asing dikesan berniaga di Persiaran Alpinia, Sierra 16, Puchong, Selangor selepas tular video dua warga Myanmar menjual air kelapa di kawasan itu, baru-baru ini.

Yang Dipertua Majlis Perbandaran Sepang (MPSepang) Datuk Abdul Hamid Hussain berkata, pihaknya menghantar anggota penguat kuasa untuk melakukan pemeriksaan di kawasan terbabit sejak semalam.

Menurutnya, pemeriksaan turut dilakukan hari ini, namun tiada penjaja ditemui di kawasan terbabit dan pemantauan akan diteruskan dari semasa ke semasa di lokasi sama.

"Pemeriksaan dijalankan sejak semalam dan diteruskan pada tengah hari tadi, tetapi tidak menemui adanya penjaja di situ.

"Namun, MPSepang serius dalam hal ini dan tidak teragak-agak mengambil tindakan tegas dengan menyita barangan jualan di lokasi jika mendapati adanya aktiviti jualan ketika pemeriksaan dijalankan.

"Ini kerana tiada kebenaran diberikan kepada peniaga atau penjaja warga asing untuk menjalankan aktiviti perniagaan di kawasan terbabit," katanya ketika dihubungi Harian Metro.

Abdul Hussain berkata, kerjasama masyarakat amat diharapkan dalam menyalurkan maklumat berhubung isu berkenaan bagi membolehkan tindakan susulan diambil dengan segera.

"Aduan boleh dibuat secara dalam talian di laman web aduan.mpsepang.gov.my atau menghantar kiriman emel ke [email protected]," katanya.

Terdahulu, tular dua video berdurasi tiga minit 30 saat dan satu minit 31 saat di laman sosial menunjukkan dua warga asing menjual air kelapa di simpang jalan sekitar Persiaran Alpinia, Puchong, Selangor.

Bagaimanapun, pengusaha Mangga Asam Boi Honeyy tampil membuat laporan di Balai Polis Bandar Kinrara, semalam selain membuat penafian terbabit dalam jualan air kelapa itu di Facebooknya pada hari sama.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 16 Februari 2021 @ 7:48 PM