KOMPLEKS Mahkamah di Kuala Terengganu. FOTO arkib NSTP
KOMPLEKS Mahkamah di Kuala Terengganu. FOTO arkib NSTP
Zatul Iffah Zolkiply


Kuala Terengganu: Penganggur mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen Kuala Terengganu, hari ini atas pertuduhan menyerang adik iparnya dengan pisau sehingga cedera di pipi dan tangan.

Tertuduh, Mohd Asmadi Mat Min, 44, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan (KK) yang boleh dihukum mengikut Seksyen 326A KK dibacakan di hadapan Hakim Dazuki Ali.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa dengan sengaja menyebabkan kecederaan terhadap mangsa, Mohd Safwan Samsuddin, 31, menggunakan pisau di hadapan rumah di Marang pada 1.40 petang 9 Februari lalu.

Bagi kesalahan mengikut Seksyen 324 KK, tertuduh berdepan hukuman penjara sehingga 10 tahun atau denda atau sebatan atau mana-mana dua daripada hukuman itu, jika sabit kesalahan.

Selain itu, tertuduh juga boleh dihukum penjara dua kali ganda tempoh yang dikenakan mengikut Seksyen 324 KK bagi kesalahan mengikut Seksyen 326A KK.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Wan Amira Ruzaini Wan Abdul Razak manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Sejurus pengakuan bersalah tertuduh direkodkan, Dazuki menetapkan 22 Februari depan sebagai tarikh sebutan semula kes untuk fakta dan hukuman.

Mahkamah juga tidak menawarkan sebarang jaminan terhadap tertuduh.

Dalam kejadian itu, mangsa yang berada di rumah ibu mentuanya cuba menghalang tertuduh yang sedang mengamuk sambil memegang sebilah pisau.

Tindakan itu menyebabkan mangsa cedera di pipi kiri dan tangan kiri selepas terkena pisau yang di pegang tertuduh.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 16 Februari 2021 @ 1:07 PM