Syafiq (kanan) menimbang geragau. FOTO HASSAN OMAR
Syafiq (kanan) menimbang geragau. FOTO HASSAN OMAR
Hassan Omar


Masjid Tanah: Nelayan dan bukan nelayan di sepanjang pantai Melaka Barat dari Tanjung Bidara hingga Kuala Linggi, di sini menikmati rezeki tambahan berikutan musim geragau sejak semalam.

Anak udang itu dikesan memenuhi perairan di pantai berkenaan sejak awal pagi semalam dan berterusan hingga awal pagi ini, sekali gus memberikan rezeki tambahan buat mereka.

Nelayan, Syafiq Zainal Abidin, 30, berkata dia menggunakan peralatan dinamakan 'sungkur' pada awal pagi ini dan berjaya memperoleh 80 kilogram (kg) geragau.

Menurutnya, awal pagi semalam dia memperoleh 100 kg geragau dan ia habis dijual hanya dalam tempoh sejam.

"Seawal 4 pagi saya turun menyungkur bersama-sama beberapa individu lagi dan Alhamdulillah, apabila naik ke darat pada 6 pagi untuk menunaikan solat Subuh, saya memperoleh 80 kg geragau.

"Geragau dijual RM6 sekilogram dan oleh kerana ia bermusim ramai akan berebut mahu mendapatkannya," katanya ketika ditemui di pangkalan nelayan Kampung Pengkalan Balak, di sini hari ini.

Sementara itu, Sulaiman Abdul Karim, 56, ketika ditemui berkata dia berjaya memperoleh 60 kg geragau hari ini berbanding 120 kg semalam.

"Lazimnya geragau naik pada musim angin barat dari September hingga Disember tetapi geragau hari ini adalah geragau musim angin 'betara' dari Januari hingga April.

"Geragau pada tahun 1970-an dijual pada harga antara 30 sen hingga 70 sekilogram sebelum naik berperingkat dan kini mencecah RM6 hingga RM10 sekilogram," katanya.

Namun katanya, ia masih mendapat permintaan tinggi terutama daripada pengusaha belacan dan cencaluk.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 15 Februari 2021 @ 5:43 PM