Nor Fazlina Abdul Rahim


KEPUTUSAN solat berjemaah di masjid dijangka diperoleh minggu ini sebelum diumumkan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, (Hal Ehwal Agama), Ahmad Marzuk Shaary berkata, Mesyuarat Jawatankuasa Muzakarah Khas Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia (MKI) sudah mengadakan perbincangan Jumaat lalu.

"Menerusi muzakarah berkenaan, kita mengambil kira pandangan pelbagai pihak termasuk Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan dalam situasi ketika ini, ada pendekatan tertentu boleh dilakukan.

"Perkara ini (tatacara atau SOP pelaksanaan solat berjemaah di masjid) akan dibawa ke kabinet sebelum dipersembahkan kepada Majlis Raja-Raja.

"Kita jangka akan memperoleh keputusan minggu ini yang akan diumumkan Perdana Menteri mengenai perkara ini," katanya pada sidang media selepas hadir Program Musa'adah Covid-19 anjuran Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM) di Kampung Bukit Tebu, Tanah Merah, hari ini.

Turut hadir, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Panau yang juga Timbalan Speaker Kerajaan Negeri, Datuk Abdul Fattah Mahmood.

Mengulas lanjut, Ahmad Marzuk berkata, Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) yang disambung sehingga 6 Jun memberi gambaran aktiviti Ramadan dan berkaitan dengannya termasuk solat Aidilfitri tidak akan ada banyak perubahan.

Akhbar sebelum ini melaporkan, Perlis memberi kebenaran untuk menunaikan solat Jumaat bersyarat mulai 15 Mei ini sebagai permulaan bagi membolehkan 'Syiar Jumaat' dihidupkan kembali di negeri itu.

Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) ketika mengumumkan perkara itu dalam satu kenyataan berkata, keputusan itu dibuat selepas mendapat perkenan Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Syed Putra Jamalullail.

Tuanku Syed Faizuddin bertitah, antara peraturan berkenaan adalah jumlah jemaah termasuk imam/khatib adalah tidak melebihi 12 orang dan tidak kurang daripada tiga orang.

Masjid tidak dibuka kepada awam sebaliknya, mereka yang dibenarkan menunaikan solat Jumaat adalah dari kalangan pegawai-pegawai masjid dan ahli jawatankuasa masjid sahaja.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 11 Mei 2020 @ 11:37 AM