FOTO HIASAN
FOTO HIASAN
Nurul Hidayah Bahaudin


Kuala Lumpur: Sembilan individu dikompaun atas kesalahan ingkar prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), semalam.

Menteri Kanan (Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, tujuh daripada mereka dikompaun kerana terbabit dalam aktiviti pusat hiburan, manakala dua lagi dikompaun atas kesalahan tiada penjarakan fizikal.

"Seramai 3,850 pasukan pematuhan membabitkan 16,191 anggota membuat pemantauan di 5,718 restoran; 4,471 pasar raya; 2,809 bank; 3,914 penjaja; 96 pasar awam atau pasar tani; 2,255 kilang dan 867 pejabat kerajaan.

"Turut dipantau 166 tempat ibadah; 16,744 tempat riadah; 3,204 terminal pengangkutan darat; 1,651 terminal pengangkutan air dan 558 terminal pengangkutan udara," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Selain itu, Ismail Sabri berkata, seramai 19 pendatang tanpa izin (Pati) ditahan dalam Operasi Benteng selain dua Pati diusir melalui dua aktiviti pengusiran, semalam.

"Dalam operasi ini, sebanyak 259 sekatan jalan raya SJR dilakukan iaitu Op Penawar (199), Op Benteng Polis Diraja Malaysia (PDRM) (51) dan Op Benteng Agensi Kawalan Sempadan Malaysia (AKSEM) (9).

"Dalam operasi itu juga, sebanyak 117 bot dan kapal dikesan berada di perairan negara melalui tujuh operasi penglihatan," katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata, sebanyak 73 operasi sanitasi membabitkan 21 zon merah, empat zon jingga, 20 zon kuning dan tiga zon hijau dilaksanakan di seluruh negara, semalam.

"Sehingga kini, sebanyak 19,910 operasi sanitasi dilakukan sejak 30 Mac lalu merangkumi 153 zon secara keseluruhan.

"Antara premis yang disanitasi adalah pusat perniagaan, kawasan perumahan termasuk Projek Perumahan Rakyat (PPR), tempat awam, pasar raya dan bangunan kerajaan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 31 Mac 2021 @ 7:07 PM