Sukarelawan badan bukan kerajaan sedang melakukan sanitasi percuma di Masjid Sentul Patah. FOTO ZATUL IFFAH ZOLKIPLY
Sukarelawan badan bukan kerajaan sedang melakukan sanitasi percuma di Masjid Sentul Patah. FOTO ZATUL IFFAH ZOLKIPLY
Zatul Iffah Zolkiply

Kuala Terengganu: Peningkatan kes Covid-19 menyebabkan tiga badan bukan kerajaan (NGO) menawarkan khidmat sanitasi percuma di lokasi tumpuan awam di negeri ini dalam usaha mengekang penularan pandemik itu.

Pegawai Pemerintah Tertinggi GM Medic Rescue, Ziyan Syamil Zakhli berkata, perkhidmatan itu bagi membantu agensi kerajaan yang bertungkus-lumus memerangi Covid-19 sejak setahun lalu dengan tumpuan di kawasan berisiko rendah.

"Setakat ini, kita sudah melakukan proses sanitasi di 10 lokasi termasuk taman permainan, masjid, sekolah, tadika dan rumah anak yatim sejak dua minggu lalu.

"Alhamdulillah, usaha ini mendapat reaksi positif masyarakat di mana kita mendapat permintaan tinggi untuk melakukan sanitasi khususnya di masjid dan sekolah.

"Kerja-kerja sanitasi tertumpu di sekitar Kuala Terengganu, Kuala Nerus dan Marang, namun kita bersedia melakukan proses sanitasi percuma di daerah lain," katanya ketika ditemui selepas melakukan sanitasi percuma di Masjid Sentul Patah, di sini, hari ini.

Program berkenaan turut mendapat kerjasama Pertubuhan Kebajikan Amal Bakti Bersatu Terengganu (PKABBT) dan Ukhwah Ranting Marang.

Turut hadir, Pengerusi PKABBT Zakhlinur Khalid dan Pengerusi Ukhwah Ranting Marang Mohd Zulkifli Yusof.

Sementara itu, Timbalan Pengerusi Masjid Sentul Patah, Che Kadir Ismail berkata, pihaknya amat berterima kasih atas bantuan sanitasi yang dilakukan NGO berkenaan.

"Walaupun masjid ini dikategorikan kawasan risiko rendah, namun kita sering meminta khidmat bomba untuk melakukan sanitasi dan kali ini, kita memohon sanitasi percuma dengan NGO luar, sebagai langkah pencegahan.

"Walaupun berisiko rendah, kita cuba melakukan sanitasi dengan lebih kerap bagi memastikan keselamatan jemaah yang mendirikan solat di masjid ini," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 9 Februari 2021 @ 2:31 PM