IKAN tapah seberat 68 kilogram yang berjaya didaratkan Sazali. FOTO ihsan pembaca
IKAN tapah seberat 68 kilogram yang berjaya didaratkan Sazali. FOTO ihsan pembaca
Amirul Aiman Hamsuddin

Tanjong Karang: "Hampir sejam saya berusaha mendaratkan ikan tapah itu yang saya anggap hadiah hari lahir. Ini spesis sama yang pernah saya daratkan empat tahun lalu," kata nelayan, Sazali Mohd Amin, 59, ketika ditemui di Kampung Parit Dua, di sini, hari ini.

Bapa kepada lima anak itu berkata, dia bertuah menaikkan ikan tapah seberat 68 kilogram dengan menggunakan joran buluh miliknya di Sungai Ban Kenal, di sini, semalam.

Menurutnya, dia menggunakan umpan ikan keli untuk menangkap ikan berkenaan.

"Saya sebelum itu memacak joran di tebing sungai yang berhampiran rumah pada 7 malam kelmarin dan memeriksanya semula pada 7 pagi semalam.

"Apa yang menghairankan, joran berkenaan beralih ke tengah sungai. Jadi, saya mengayuh sampan untuk mengambilnya sebelum sampan ditarik sejauh kira-kira 200 meter," katanya.

Sazali berkata, dia kemudian mengambil tali untuk mengikat joran dan kembali ke tebing sungai.

"Berbekalkan kudrat sedia ada, saya menarik joran itu selama sejam dan terkejut apabila mendapati ia seekor tapah gergasi.

"Selepas mendaratkan ikan itu, saya segera mengangkatnya ke sampan dan memanggil seorang anak lelaki untuk membantu," katanya.

Katanya, empat tahun lalu, dia pernah mendaratkan ikan sama seberat hampir 100kg di sungai itu.

Sazali berkata, ikan tapah itu dijual dengan harga RM1,000 kepada pihak pengurusan Majlis Kampung Parit Dua.

"Saya menjualnya dengan harga lebih murah berbanding pasaran kerana ikan itu akan dijamu kepada penduduk," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 5 Februari 2021 @ 7:38 PM