Balqis Jazimah Zahari


Ipoh: Satu daripada 13 asrama pekerja kilang sarung tangan di kawasan perumahan di Tasek di sini, didapati terlalu sesak dengan jumlah bilik dan bilik air tidak menepati peraturan ditetapkan, selain kotor.

Pengarah Standard Perburuhan, Jabatan Tenaga Kerja (JTK) Semenanjung Malaysia, Mohd Asri Abdul Wahab berkata, keadaan itu jelas melanggar peruntukan di bawah Akta Standard Minimum Perumahan, Penginapan dan Kemudahan Pekerja 1990 (Akta 446)

"Tempat penginapan pekerja yang ada sekarang, kebanyakannya melebihi 12 orang dengan ruang tamu dijadikan tempat tidur dan jumlah bilik air tidak menepati jumlah pekerja yang menginap.

"Kalau bercerita isu penularan Covid-19, inilah (risiko) yang berlaku, yang mana rumah pekerja disumbat dengan 20 hingga 30 orang, sedangkan ia sepatutnya hanya boleh diisi antara 10 ke 12 orang sahaja," katanya pada sidang media selepas operasi pemantauan asrama pekerja di sini, hari ini.

Operasi itu turut dilaksana serentak di Negeri Sembilan, Johor, Kelantan dan Kedah disertai Jabatan Kesihatan negeri.

MOHD Asri (tiga kiri) menyertai operasi Jabatan Tenaga Kerja (JTK) di salah satu tempat penginapan pekerja syarikat sarung tangan terkenal di kawasan Tasek.FOTO Balqis Jazimah Zahari
MOHD Asri (tiga kiri) menyertai operasi Jabatan Tenaga Kerja (JTK) di salah satu tempat penginapan pekerja syarikat sarung tangan terkenal di kawasan Tasek.FOTO Balqis Jazimah Zahari

Mohd Asri berkata, ada kediaman diperiksa didapati kotor selain tiada penyelia untuk mengurus soal keselamatan dan kesihatan pekerja, malah tiada senarai nama pekerja.

Selain itu katanya, asrama tidak mempunyai surat perakuan penginapan yang dikeluarkan JTK yang menyebabkan pihaknya tidak dapat memberi pandangan mengenai jumlah dan kriteria kediaman pekerja yang sesuai.

"Susulan pemeriksaan ini, majikan yang disiasat dan didapati bersalah di bawah Akta 446 boleh didenda maksimum sehingga RM50,000 bagi seorang pekerja," katanya yang menyeru majikan supaya menjaga kebajikan pekerja dan menyediakan tempat penginapan selesa mengikut perundangan.

Menurutnya, pihaknya memperketatkan pemantauan terhadap perkara berkenaan bagi memastikan tiada pelanggaran peraturan oleh mana-mana pihak.

Sementara itu, Ketua Cawangan Inspektorat dan Perundangan Jabatan Kesihatan Perak, Ahmad Fakurazi Abu Bakar berkata, pihaknya mendapati penambahbaikan perlu dilakukan terutama pekerja tidak memakai pelitup muka dengan betul dan tiada penjarakan fizikal.

Beliau juga mencadangkan pekerja disaring sebelum pulang ke asrama bagi mengelak jangkitan wabak.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 26 November 2020 @ 4:56 PM