GAMBAR hiasan. FOTO BERNAMA
GAMBAR hiasan. FOTO BERNAMA
Zatul Iffah Zolkiply

Setiu: Pembinaan 13 menara komunikasi baharu serta naik taraf 57 alat pemancar komunikasi di menara sedia ada di Parlimen Setiu dijangka dapat menyelesaikan masalah liputan rangkaian Internet lemah terutama di kawasan luar bandar.

Ahli Parlimen Setiu, Shaharizukirnain Abdul Kadir berkata, projek sudah diluluskan Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia itu dalam proses tender bagi memastikan lebih ramai penduduk mendapat rangkaian perkhidmatan 4G.

Beliau berkata, projek itu akan memberi manfaat penduduk di enam kampung di Dewan Undangan Negeri (Dun) Langkap, empat kampung di Dun Permaisuri dan empat kampung di Dun Jabi.

"Di Dun Langkap, kawasan yang terbabit adalah Kampung Tayor Tengah, Hutan Lipur Lata Payung, Kampung Bukit Layat, Kampung Jelapang, Kilang Sawit Chalok dan Bukit Lawang manakala di Dun Permaisuri, ia membabitkan penduduk di Kampung Mangkuk, Kampung Air Sejuk Guntung, Pengkalan Gelap dan Kampung Padang Serai.

"Di kawasan Dun Jabi pula, ia akan memberi manfaat kepada penduduk Kampung Bukit Tanah, Kampung Padang Lindong Oh Jabi, Kampung Kepala Gajah dan Kampung Baru Tok Dor.

"Insya-Allah, kita harapkan projek ini dapat membantu mengatasi masalah liputan rangkaian Internet lemah, sekali gus dapat meluaskan rangkaian 4G dalam Parlimen Setiu," katanya dalam satu kenyataan menerusi laman Facebook.

Shaharizukirnain berkata, seramai 1,322 pelanggan di Setiu akan dinaik taraf daripada perkhidmatan rangkaian berasaskan tembaga kepada rangkaian gentian optik untuk jalur lebar talian tetap menerusi inisiatif Jalinan Digital Negara (Jendela).

Beliau berkata, Jendela yang diumumkan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin pada 29 Ogos tahun lalu adalah inisiatif kerajaan dan pemain industri bagi meningkatkan tahap kesalinghubungan serta kualiti pengalaman perkhidmatan komunikasi di seluruh negara melalui pembangunan infrastruktur lebih cepat dan menyeluruh.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 4 Februari 2021 @ 4:28 PM