GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Mohd Roji Kawi

Kuching: Sarawak merekodkan tiga kematian akibat Covid-19 hari ini, dengan masing-masing di Kuching, Sibu dan Miri.

Ia sekali gus menjadikan jumlah keseluruhan kematian akibat pandemik itu di Sarawak kepada 42 kes.

Ketua Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sarawak Mejar Ismail Mahedin berkata, kes kematian pertama hari ini atau ke-40 secara keseluruhan di Sarawak membabitkan lelaki warga tempatan berumur 40 tahun di Kuching yang pernah dimasukkan ke hospital pada 2020 akibat darah tinggi dan dislipidemia.

"Kes kedua membabitkan perempuan tempatan berumur 59 tahun yang dimasukkan ke Hospital Miri untuk mendapatkan rawatan kimoterapi bagi penyakit barah sel darah putih.

"Kematian ketiga membabitkan wanita tempatan berumur 74 tahun yang mendapatkan rawatan di Hospital Sibu apabila saringan bagi kontak rapat dengan kaedah ujian rT-PCR

adalah positif," katanya pada kenyataan.

Pada masa sama, beliau berkata, Sarawak mencatatkan 148 kes jangkitan baharu Covid-19 hari ini, menjadikan jumlah keseluruhan kepada 4,824 kes.

Sibu mencatat jumlah tertinggi dengan 48 kes, Bintulu (15), Dalat (15), Beluru (14), Miri (12), Kapit (8), Kanowit (8), Sebauh (7), Song (7), Sri Aman (5), Bau (3) dan masing-masing satu di Kuching, Lundu, Tatau, Subis, Selangau serta Sarikei.

Katanya, 12 kluster masih aktif di Sarawak hari ini dengan Kluster Pasai terus mencatat peningkatan dengan 2,050 kes positif.

Kluster lain yang masih aktif ialah Kluster Bintang Daily di Meradong, Kluster Jalan Pengiran di Matu, Kluster Tabong di Bau, Kluster Bedayan di Serian dan Kluster Bukit Sekubong di Sebauh.

Enam lagi kluster yang masih aktif ialah tiga di Miri iaitu Kluster Rakut, Kluster Jelita dan Kluster Bah Sayap, manakala tiga lagi di Kuching iaitu Kluster Keranji Tabuan, Kluster Indah Riang dan Kluster Stutong.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 3 Februari 2021 @ 6:51 PM