BERNAMA

Cyberjaya: Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) akan melakukan siasatan lanjut berikutan penemuan tong berisi bahan buangan berjadual (bahan pelarut) yang tidak diurus dengan baik di sebuah premis tidak berpenghuni di Taman Seri Reko, Kajang yang terletak berhampiran Sungai Langat semalam.

SPAN dalam satu kenyataan hari ini memaklumkan pihaknya menemukan 13 tong berkapasiti 160 liter dan enam tong berkapasiti lima liter yang berisi bahan buangan berjadual itu di premis berkenaan selepas bertindak atas maklumat yang diterima daripada Bahagian Penguatkuasaan Majlis Perbandaran Kajang (MPKj).

"Ia berpotensi menjadi punca pencemaran sungai," menurut SPAN.

SPAN memberitahu sekiranya pencemaran berlaku, pemilik premis boleh disiasat mengikut Seksyen 121 (1) (C) yang memperuntukkan hukuman denda sehingga RM100,000 atau penjara selama tempoh satu tahun atau kedua-duanya sekali.

Menurut SPAN, premis berkenaan didirikan di tanah rizab sungai dan disyaki beroperasi tanpa lesen yang sah dan sedang disiasat pihak MPKj.

Tong bahan buangan berjadual yang ditemukan di Taman Seri Reko, Kajang. Foto Ihsan SPAN
Tong bahan buangan berjadual yang ditemukan di Taman Seri Reko, Kajang. Foto Ihsan SPAN

Sebagai langkah mitigasi, SPAN menyatakan operator air iaitu Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd sudah menugaskan unit pemantauan mereka agar bersiap siaga untuk sebarang kemungkinan.

Jabatan Alam Sekitar (JAS) juga sedang dalam proses siasatan lanjut memandangkan penemuan membabitkan bahan buangan berjadual, menurut SPAN.

Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) pula sedang mengambil langkah sewajarnya untuk memastikan isu itu tidak akan menyebabkan pencemaran terhadap sumber air, katanya.

Orang awam diminta memberi kerjasama untuk melaporkan kes yang disyaki melakukan pencemaran kepada Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan SPAN di talian 03-8317 9333 atau e-mel ke [email protected].

Berita berkaitan

Pelaku buang sisa kimia sudah dikenal pasti

Sabotaj? 19 tong bahan kimia ditemukan tepi sungai

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 3 Februari 2021 @ 1:05 PM