Laporan Harian Metro sebelum ini
Laporan Harian Metro sebelum ini
Ekhwan Haque Fazlul Haque

Kajang: Tanah rizab Sungai Langat di Taman Seri Reko di sini, dijadikan lokasi pihak tidak bertanggungjawab melupuskan sisa kimia pelarut hingga berpotensi menyebabkan pencemaran.

Pengerusi Jawatankuasa Tetap Alam Sekitar, Teknologi Hijau, Sains, Teknologi Hijau dan Hal Ehwal Pengguna Selangor Hee Loy Sian berkata, pihaknya sudah mengenal pasti pihak yang terbabit dalam insiden itu dan tindakan lanjut sedang dijalankan.

Menurutnya, kejadian pada 5 petang semalam disedari penduduk taman perumahan yang menemui tong berisi bahan kimia sebelum memaklumkan penemuan berkenaan kepada Majlis Perbandaran Kajang (MPKj).

"Hasil penelitian lanjut Jabatan Alam Sekitar (JAS), Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) dan MPKj mendapati bahan kimia berkenaan jenis pelarut dan penipis cat yang digunakan kilang cat namun tidak dilupus mengikut piawaian ditetapkan.

"Semakan dan pemeriksaan lanjut juga mendapati lokasi penemuan hanya 10 merer dari Sungai Langat dan tiada sebarang tumpahan dan bau dikesan di hilir sungai yang boleh menghenti tugas loji rawatan air," katanya dalam sidang media selepas meninjau lokasi kejadian, hari ini.

Semalam, sebanyak 13 tong berkapasiti 160 liter dan enam tong berkapasiti lima liter bahan buangan berjadual ditemukan penduduk sebelum memaklumkan kepada MPKj.

Menurut Hee, penemuan bahan kimia itu juga tidak akan menyebabkan gangguan bekalan air untuk penduduk sekitar Hulu Langat dan operasi pelupusan kini dilaksanakan JAS.

Katanya, JAS akan menjalankan siasatan lanjut dan membuat pemeriksaan di kilang sekitar untuk memastikan bahan kimia dilupus mengikut kaedah pelupusan ditetapkan kerajaan.

"Selaras dengan Enakmen LUAS (Pindaan) 2020, bagi pencemaran sumber air apabila disabitkan kesalahan boleh dihukum penjara selama tempoh tidak melebihi tiga tahun dan didenda tidak kurang daripada RM200,000 dan tidak melebihi RM2 juta.

"Pemberi maklumat mengenai pencemaran juga akan diberikan ganjaran RM20,000 sekiranya pelaku ditahan dan dijatuhkan hukuman kerana mencemarkan sungai," katanya.

Sementara itu, beliau berkata, setakat Januari lalu sebanyak tujuh kes pencemaran kod kuning direkodkan di Selangor membabitkan Sungai Chinchang, Sungai Gong dan Sungai Semenyih.

Katanya, pencemaran itu berlaku kerana wujud pencerobohan di kawasan rizab tebing sungai yang digunakan untuk membuang bahan kimia tercemar.

Berita berkaitan

Sabotaj? 19 tong bahan kimia ditemukan tepi sungai

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 3 Februari 2021 @ 12:21 PM