GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Izwan Abdullah

Kota Kinabalu: Empat lagi sekolah menengah di Sandakan dan sebuah tadika swasta di Kota Kinabalu diarah tutup selepas dikesan ada kes positif Covid-19 membabitkan pelajar atau guru.

Jurucakap Covid-19 Sabah, Datuk Masidi Manjun berkata, ia menjadikan lapan sekolah menengah ditutup di Sandakan setakat ini selepas empat ditutup pada minggu lalu, manakala dua tadika ditutup setakat ini termasuk sebuah pada minggu lalu.

Katanya, berdasarkan maklumat daripada Jabatan Pendidikan Negeri Sabah, selain empat sekolah yang ditutup sebelum ini, terdapat empat lagi sekolah ditutup akibat jangkitan kes Covid-19.

"Semuanya di Sandakan iaitu Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sandakan; Kolej Vokasional Sandakan; Sekolah Menengah (SM) St Cecilia dan Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Tun Juhar," katanya pada sidang media perkembangan Covid-19 Sabah, di sini, malam ini.

Bagi tadika yang ditutup setakat ini, katanya dua sekolah terbabit ialah Tadika Jati, Taman Haringgton Kota Kinabalu dan Kinabalu International School, Kota Kinabalu.

Empat sekolah menengah yang ditutup di Sandakan pada minggu lalu ialah SMK Perempuan Sandakan, SMK Elopura Bestari, SMK Batu Sapi dan SM St Mary.

Sementara itu, Masidi yang juga Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan negeri, berkata situasi penularan Covid-19 di Sabah semakin stabil dengan bilangan pesakit sembuh hari ini masih mendahului kes positif baharu.

Sabah merekodkan sebanyak 276 kes baharu hari ini, menjadikan jumlah kumulatif sebanyak 49,420 kes, manakala 388 pesakit Covid-19 dibenarkan keluar hospital, menjadikan jumlah kumulatif sembuh seramai 45,901 orang.

Bagaimanapun, empat kes kematian dilaporkan hari ini, iaitu dua di Sandakan dan masing-masing satu di Kota Kinabalu dan Putatan.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 2 Februari 2021 @ 9:46 PM